Punca Banjir Di Kulim Disiasat Segera


KULIM - Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mahu siasatan terperinci dilakukan pihak berkenaan bagi mengenal pasti  punca kekerapan banjir kilat di daerah ini sejak seminggu lepas.

Beliau berkata walaupun punca sebenar belum dikenal pasti terutama di kawasan yang tidak pernah dlanda banjir namun, beliau tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan aktiviti pembalakan.

“Kita akan siasat dan mengambil tindakan sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa dan kawasan banjir Kampung Baru, Sungai Kob di sini, semalam.  

Dalam lawatan hampir 45 minit itu, beliau turut menzahirkan simpati terhadap keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat dibawa arus deras malam kelmarin.  

Kejadian kira-kira 11 malam itu menyebabkan Johari  Bakar,  57, dan anak perempuannya, Nor Suri Dalina, 14, maut selepas mereka hanyut dibawa arus deras.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata beliau akan memastikan semua bantuan disalurkan secepat mungkin kepada mangsa banjir di Kampung Baru Tambahan.

“Maklumat awal yang diberikan menyatakan bahawa Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah membekalkan bekalan air yang terputus akibat paip pecah.

“Sukarelawan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan membantu membersihkan lumpur di dalam rumah mangsa,” katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com