#PRU14 : Zahid Pikat Hati Pengundi Cina Bagan Datuk Dengan Bahasa Mandarin


BAGAN DATUK - "Wǒmen shì Bagan Datuk rén, Wǒmen shì mǎ lái xī yǎ rén. Wǒmen shì yī jiārén hé Bagan Datuk rén shì wǒ de péngyǒu " - itu merupakan antara ungkapan bahasa Mandarin wajib diucapkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada program pulang ke kawasan bertemu masyarakat Cina.

Biarpun sebutan itu bermaksud "Kita semua orang Bagan Datuk, Kita semua rakyat Malaysia. Kita semua merupakan satu keluarga dan orang Bagan Datuk adalah kawan saya" dianggap biasa, namun ungkapan yang keluar dari mulut Timbalan Perdana Menteri itu memainkan peranan halus bagi mendekati hati pengundi, lebih-lebih lagi dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang kian hangat.

Ahmad Zahid, 65, anak jati Rungkup bakal mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk untuk penggal ke-6 sejak memenangi pada PRU9 pada 1995 dan pada PRU14 ini beliau berdepan pertandingan tiga penjuru iaitu calon PKR Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (PAS).

Sekalipun bukan musim pilihan raya, sudah menjadi kelaziman buat Ahmad Zahid balik kawasan bertemu masyarakat setempat, tidak kira kaum dan agama sama ada minum pagi bersama mereka di kedai-kedai kopi, mengadakan walkabout mahupun menziarahi keluarga yang kematian ahli keluarga.

Sebenarnya Ahmad Zahid telah lama 'memanaskan badan' dengan menyelitkan sedikit unsur kempen dalam setiap program rasminya dan sebaik sahaja tamat proses penamaan calon, secara rasminya kempen beliau diperhebatkan lagi meskipun bagai tidak nampak seperti berkempen kerana dibayangi sibuk dengan tugasan rasminya.

Untuk kempen hari ini, beliau mengadakan walkabout ke kawasan pengundi Cina di Kampung Bagan Sungai Burung, sebuah kawasan nelayan pada sebelah petang dan merupakan program ketujuh dihadiri Ahmad Zahid, selain beberapa lagi program di sebelah malamnya.

Ahmad Zahid meluangkan masa lebih sejam bertemu pengundi sambil berkempen dari kedai ke kedai dengan meminta sokongan pengundi supaya memilih BN iaitu parti yang boleh menjamin mereka dalam aspek ekonomi, pendidikan dan keselamatan pada hari pengundian 9 Mei nanti.

Ketika ucapannya, beliau turut menyelitkan beberapa perkataan bahasa Mandarin mudah antaranya tajia hao (apa khabar semua), buyao (jangan) serta juga bercakap bahasa Melayu dalam loghat Cina dalam menambah kemesraan dan mendapat tepukan gemuruh daripada mereka.

Ini sudah pastinya pendekatan balik ke kawasan yang sangat berbeza berbanding tugas rasminya.

Malah meletakkan dirinya sebagai 'orang kampung' dan hubungan akrab ditonjolkan Ahmad Zahid ketika bertemu orang kampung dan rakan-rakan karib lamanya termasuk dari kalangan kaum Cina dan India juga antara bonus buat beliau mudah disenangi masyarakat setempat dan sokongannya tetap utuh.

Pada PRU13, Ahmad Zahid menewaskan calon PKR, Madhi Hasan dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 2,108 undi

Sementara itu salah seorang rakan karibnya Beh Song Wan, 55, ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata meskipun menyandang jawatan kedua penting negara, namun perwatakan Ahmad Zahid yang sederhana dan ramah dan ditambah manifestasi mengubah landskap pembangunan di Bagan Datuk diyakini menjadi penarik kepada pengundi untuk sekali lagi memberi mandat kepadanya.

"Saya lihat dia kalau balik kawasan akan tinggalkan pangkat di tepi dan jadi orang biasa menyantuni orang ramai. Dia juga seorang 'visionary' (berwawasan) mengubah Bagan Datuk dari sebuah daerah 'hidup segan mati tak mahu' kepada daerah dikenali ramai.

"Jadi saya pasti pendekatan Zahid yang 'buta warna' menghulur bantuan tidak kira agama dan kaum juga faktor mengapa kita perlu pilih dia yang sememangnya sangat memahami kehendak dan denyut nadi masyarakat Bagan Datuk," katanya.

Sehingga kini, sebanyak 62 projek pembangunan melibatkan RM1.34 bilion dilaksanakan di Bagan Datuk, termasuk pembinaan jambatan menghubungkan Bagan Datuk dengan Kampung Sejagop, Perak Tengah bernilai RM466.9 juta, Jeti Pelancongan Water Front, Kolej Politeknik, kompleks sukan dan sebagainya.

Ang Kim Chong, pengerusi MCA Bagan Datuk berkata bersandarkan kepada pembangunan yang dibawa Ahmad Zahid kepada kawasan Parlimen Bagan Datuk, trend peralihan sokongan pengundi Cina daripada pembangkang kepada BN dijangka diteruskan kerana berpuas hati terhadap prestasi ekonomi setempat yang dibawa BN.

"18 manifesto khas Bagan Datuk untuk kaum Cina dilancarkan beliau antaranya memfokuskan kepada kebajikan serta meningkatkan taraf ekonomi golongan nelayan pasti akan meningkatkan lagi majoriti undi terhadap TPM. Jika tiada TPM maka tiadalah pertambahan pembangunan," katanya.

Parlimen P.075 Bagan Datuk mempunyai 47,215 pengundi berdaftar terdiri daripada 27,997 Melayu (59.30 peratus); 8,389 Cina (17.77 peratus) dan 10,114 India (21.42 peratus), manakala DUN N.53 Rungkup terdiri daripada 16,105 pemilih termasuk 11,048 Melayu (68.60 peratus), 3,602 Cina (22.3 peratus) dan 1,342 India (8.33 peratus).

Terdapat dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dun Rungkup seramai 16,067 pengundi yang disandang BN dan DUN Hutan Melintang seramai 31,242 pengundi, disandang PKR, pada PRU lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei bagi hari pengundian dan pengundian awal pada 5 Mei, sementara tempoh berkempen ialah 11 hari bermula pada hari penamaan calon pada Sabtu, 28 April sehingga pukul 11.59 malam 8 Mei.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com