#PRU14: Kempen Terakhir Mahathir Hilang "Sengat"


LANGKAWI - Kempen Tun Dr Mahathir Mohamad yang terakhir seolah-olah tidak menjadi apabila hanya kira-kira 3,000 orang yang hadir di program beliau yang bertempat di Dewan Ho Ping, di sini malam tadi.

Difahamkan ramai penduduk Langkawi yang kurang selesa dengan corak beliau berkempen yang bertalu-talu memburukkan Barisan Nasional (BN) dengan isu-isu yang sama dan hanya menabur tohmahan melalui fakta diragui, selain memomokkan politik kebencian.


"Saya pun hairan, kenapa Tun M bersikap macam tu. Kalau nak selamatkan Malaysia, bukan macam tu caranya. Bukan dengan cara burukkan orang lain, puji diri sendiri. Masuk bakul, angkat diri sendiri.

"Tak isu lain, 1MDB dan GST. Bab 1MDB tu dah nampak sangat bohongnya. Bab GST tu, kami orangg Langkawi bebas cukai, tak relevan la dia nak kempen bab GST tu kat kami.

"Lagi pun, bukan la tak hormat Tun M, tapi kami bosan. Sebagai orang tua, negarawan pulak tu, tunjuk la contoh yang baik kat kami. Nak kempen tu, tak payah la nak burukkan orang. Dato' Seri Najib pun banyak jugak tolong kami orang Langkawi," kata Mohd Nazrul Ahmad Fadhil, 26, yang ditemui Dataran Lang, malam tadi.


Ekoran itu, lebih ramai yang memilih untuk bersantai di Dataran Lang malam ini bersama keluarga menyaksikan konsert Langkawi Hebatk yang dianggarkan kehadiran mencecah 6,000 orang di sini, malam tadi.

Membariskan artis ternama seperti Ramli Sarip, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Ruffedge, DJ Dave, Joe Flizzow dan ramai lagi, menyebabkan jalan raya sesak dan kenderaan terpaksa di letakkan sepanjang 2 kilometer daripada dataran berkenaan.


"Kadang-kadang tu kami tak faham pasai apa Tun M tu dok hentam BN. Dulu BN jugak yang bagi dia kuasa. Pasai anak dia Mukhriz jatuh, dia nak mengamuk kat BN?

"Kami bukan tak sayang kat Tun M, kami sayang. Tapi kami takkan pilih dia jadi wakil rakyat kami. Dia dah jadi geng DAP dengan PKR. Bukan geng kami dah," kata Shaibatul Aqira Zainuddin, 27.


Menurut Rosli Hamat, 47, orang Langkawi mungkin ada yang berbeza pandangan politik, namun semuanya bergaul mesra dan tidak berpecah belah disebabkan perbezaan tersebut.

Jelasnya, kaedah politik yang tidak digemari itu berkemungkinan besar akan menyebabkan Tun Dr Mahathir ditolak majoriti orang Langkawi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kali ini.

"Saya lebih selesa bawa keluarga bersantai kat sini daripada buang masa dengar cerita yang bukan-bukan, kutuk orang sana-sini. Bukan semua yang diceritakan tu betul pun. Paling sakit hati bila ada yang cuba timbulkan "api". Orang Langkawi tak dapat terima.


"Memang Tun M berjasa, kami hormat dan sayang dia. Tapi kami lebih sayangkan Langkawi.

"Mungkin benar BN tak sempurna, tapi rasanya BN lebih baik daripada Pakatan. Kami tak suka Pakatan sebab cara depa berkempen. Pendekatan tak kena," ujarnya.

Tun Dr Mahathir malam tadi berkempen kali terakhir di program Rali Harapan Malaysia di sini dan dijangka pulang ke Titi Gajah esok pagi untuk mengundi di sana.


Beliau malam tadi turut diiringi dua lagi calon Pakatan Harapan yang bertanding di kerusi Dun Kuah, Mohd Firdaus Ahmad, dan Dun Ayer Hangat, Johari Bulat.

Tun Dr Mahathir dijangka tewas tipis pada pilihan raya ini, manakala Mohd Firdaus dan Johari pula dijangka tidak mempunyai harapan untuk menang ekoran pengaruh BN dan PAS yang lebih menjadi pilihan orang Langkawi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com