#PRU14: Kekuatan Jentera BN Kedah Diuji


KALI ini bahang dan drama pilihan raya di Kedah amat berlainan berbanding dua pilihan raya umum yang pernah penulis hadapi di negeri ini iaitu Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan PRU-13.

Kekuatan jentera Barisan Nasional (BN) Kedah yang dikepalai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah diuji dengan geng kartel lama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kelmarin, bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz digerakkan ke Pendang untuk membantu kempen bekas bosnya itu bagi memastikan calon-calon gabungan pakatan pembangkang di Pendang berjaya merampas kerusi Parlimen itu BN.

Dalam kerancakan Rafidah mengutuk UMNO, tiga buah lori penyokong Pas berulang alik di hadapan lokasi markas PPBM Pendang sambil membunyikan hon, mungkin mahu memberi amaran mengenai kekuatan Pas yang turut terpasak sejak sekian lama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai yang merupakan salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Pendang.

Dalam kerancakan BN dan gabungan pakatan pembangkang PKR di Kedah saling berbalas dan menangkis serangan mungkin ada yang terlupa dengan kekuatan Pas Kedah yang kini lebih ‘berdiam diri’.

Pas Kedah pada PRU-14 kali ini meletakkan 51 calon di 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN di negeri ini sehingga Dr. Mahathir mengatakan Pas sebagai pengacau pilihan raya.

Tetapi jika diamati, Dr. Mahathir sebenarnya sendiri bimbang dengan Pas di Kedah, jika tidak manakan terjadi drama melawat kubur bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang terletak di Muassasah Darul Ulum Pokok Sena, selepas terlanjur menggelar para syuhada tragedi Memali sebagai mati katak.

Ketika kedatangan Dr. Mahathir ke tanah perkuburan itu, penduduk tempatan yang tinggal di situ langsung tidak keluar, yang ada hanyalah suku sakat penyokong Dr. Mahathir.

Kalau difikirkan secara lojik, seorang lagenda politik seperti Dr. Mahathir datang ke tempat tinggal anda, mustahil anda tidak keluar untuk sekurang-kurangnya mengambil swafoto sebagai kenang-kenangan.

Di situ sahaja boleh dinilai bagaimana pendirian penyokong Pas negeri ini terhadap Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir tahu tanpa undi daripada penyokong Pas di Kedah, kekuatan gabungan pembangkang PKR diketuai DAP pincang.

Ada penganalisis politik meramalkan mungkin berlaku keadaan di mana DUN Kedah tergantung atau berlakunya kerajaan campuran di negeri ini antara BN dan Pas dan perkara ini seharusnya dielakkan oleh BN.

Tempoh kempen yang tinggal sehingga pukul 12 tengah malam hari ini seharusnya digunakan sebaiknya oleh jentera BN bagi menyakinkan pengundi terutama di atas pagar untuk menolak gabungan pembangkang PKR yang sebenarnya diketuai DAP.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com