#PRU14 : Kecewa Manifesto Tidak Dilayan, Orang Asli Perak Tolak Pakatan Harapan


TANJUNG MALIM - Pakatan Harapan (Harapan) hilang sokongan majoriti Orang Asli di Perak apabila enam perkampungan di Pos Bersih dan Tenau di sini beralih menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli Perak, C Ramesh Arumugam berkata Manifesto BN Perak dilihat terbaik dalam menyelesaikan masalah tanah adat Orang Asli dan pembinaan Stesen Hidro Elektrik Mini yang telah menjejaskan sumber ekonomi dan kehidupan seharian.

Dia mendakwa pernah duduk semeja dengan parti pembangkang untuk membentuk manifesto bagi menjaga kebajikan Orang Asli kecewa lantaran tidak ada satu pun manifesto itu diguna pakai.

"Pembangkang yang berusaha mendekati Orang Asli, terutama dalam kempen pilihan raya, hanya mahu undi sahaja, bukannya untuk membantu menyelesaikan masalah Orang Asli.

"Calon pembangkang, Parlimen Tanjong Malim iaitu Chang Lih Kang sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Gopeng selama 10 tahun gagal menjaga kebajikan Orang Asli dan jarang turun padang mendekati Orang Asli.

"Oleh itu, saya menyeru semua Orang Asli di negeri ini khususnya di Parlimen Tanjong Malim menyokong semua calon BN bagi memastikan kebajikan Orang Asli terjamin pada masa depan," katanya ketika Majlis Perjumpaan Orang Asli Bersama Tok Batin di sini kelmarin.

Sokongan kepada BN itu membabitkan Kampung Gesau, Kampung Keding, Kampung Bangkong, Kampung Tibang, Pos Bersih dan Pos Tenau yang merupakan sebahagian daripada 3,633 pemilih berdaftar Orang Asli di Parlimen Tanjong Malim. 

Hadir sama adalah Penasihat Tok Batin Suku Kaum Semai Malaysia, Gahrai Kadik serta semua Tok Batin bagi Kampung Gesau, Pos Bersih, Kampung Keding, Kampung Tenau, Kampung Bangkong dan Kampung Tibang.

Sementara itu, Gahrai berkata sudah 61 tahun beliau bersama dan menyokong kerajaan BN dan berharap isu tanah adat Orang Asli diselesaikan dengan segera bagi menjamin masa depan Orang Asli.

Malah, ujarnya, pembinaan Stesen Hidro Elektrik berdekatan Pos Tenau mengganggu habitat hidupan dalam sungai yang menjejaskan kehidupan seharian Orang Asli.

"Saya mahu semua Orang Asli di negeri ini khususnya di Parlimen ini menyokong semua  calon BN dalam pilihan raya ini kerana hanya kerajaan BN sahaja dapat menyelesaikan semua permasalahan Orang Asli," katanya pada majlis sama.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com