PRU14: Anggota Keselamatan Tunai Tanggungjawab


KUALA LUMPUR – Pengundian awal hari ini bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melibatkan sejumlah 278,590 anggota keselamatan termasuk pasangan mereka berjalan lancar di 586 pusat mengundi di seluruh negara setakat 10 pagi ini.

Ia berlangsung empat hari sebelum hari pengundian PRU14 iaitu 9 Mei. Parlimen dibubarkan 7 April lepas bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum berkenaan.

Anggota pasukan keselamatan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka dilihat berkumpul sejak awal pagi di pusat-pusat mengundi sebelum pengundian bermula 8 pagi.

Di ibu negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengundi di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.

Antara pusat pengundian awal lain yang dibuka di sini ialah di Kompleks Sukan, Hospital Tentera Tuanku Mizan; Kem Perdana Sungai Besi dan Sekolah Kebangsaan Kementah, Jalan Padang Tembak.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Kementah.

Di PULAU PINANG, 31 pusat mengundi dibuka di seluruh negeri bagi pengundian awal melibatkan 11,613 orang.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Md Fuad Mohd Sherif berkata ia merangkumi 6,136 anggota polis dan pasangan serta 5,477 anggota tentera serta pasangan.

Di KELANTAN, 41 pusat mengundi dibuka di seluruh negeri termasuk lima kem tentera dan 36 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai polis.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jeli dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas, turut meninjau proses pengundian awal di pusat pengundian Batalion Pertama Rejimen Sempadan Kem Batu 11, Tanah Merah. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com