#PRU14: 10,000 Anggota Polis Tambahan Digerakkan Ke Seluruh Negara


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menggerakkan kira-kira 10,000 pegawai dan anggota polis tambahan ke kontinjen negeri seluruh negara bagi membantu kelancaran proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rabu ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata semua pegawai serta anggota tambahan yang diatur gerak itu bagi membantu 68,000 anggota sedia ada yang bertugas seluruh negara sepanjang PRU-14.

Katanya, pegawai serta anggota tambahan berkenaan dari Bukit Aman, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pusat Latihan Polis (PULAPOL) selain Pasukan Gerakan Marin dan Unit Udara PDRM.

"Mereka akan ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi membantu memantau keadaan daripada aspek keselamatan dan ketenteraman awam sehinggalah proses mengundi tamat," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Amanat Pengarah Jabatan KDNKA sempena Penugasan PRU Ke-14 di Kompleks Pasukan Simpanan Persekutuan, Cheras, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Zulkifli menyampaikan amanat kepada 600 pegawai dan anggota FRU serta PGA yang bertugas sepanjang PRU-14.

Zulkifli berkata, pada hari mengundi nanti, tugas menjaga keselamatan serta ketenteraman turut dibantu 3,700 Sukarelawan Simpanan Polis (PVR).

"Alhamdulillah, bermula 28 April lalu dan sehingga malam tadi, tiada sebarang insiden atau kekecohan dilaporkan berlaku.

"Walaupun kita sudah buka sebanyak 227 kertas siasatan, semuanya membabitkan kes kecil kejadian khianat seperti merosakkan poster dan kain rentang. Malah, sehingga kini, kita berpuas hati dengan tahap keselamatan sepanjang tempoh kempen berlangsung," katanya.

Bagaimanapun, Zulkifli berharap agar orang awam tidak berhimpun di mana-mana pusat mengundi selepas selesai membuang undi bagi mengelak kesesakan lalu-lintas serta memudahkan pengundi lain membuang undi.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com