PRU-14, Polis Kedah Buka 37 Kertas Siasatan


ALOR SETAR - Polis di negeri ini membuka sebanyak 37 kertas siasatan berhubung pelbagai kesalahan sepanjang musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), bermula dari hari penamaan calon pada 28 April sehingga hari pengundian, 9 mei lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, dalam tempoh itu pihaknya menerima sebanyak 171 laporan melibatkan pelbagai kejadian.

“Sebanyak 19 daripada 37 kertas siasatan yang dibuka melibatkan kesalahan penggunaan dron dan dakwaan tidak dibenarkan mengundi.

“Kertas siasatan yang kedua terbanyak adalah berkaitan kesalahan khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu 11 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Selain itu katanya, terdapat dua kertas siasatan dibuka kerana dengan sengaja menyebabkan cedera di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta masing-masing satu kertas siasatan untuk laporan berkaitan pencerobohan jenayah, ugutan jenayah, ugutan jenayah dengan sembunyi nama, khianat dengan api serta menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas.

Zainal Abidin menambah, polis turut menahan tiga individu di sepanjang tempoh yang sama kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tertentu.

“Dua lelaki berusia 24 dan 31 tahun ditahan kerana kesalahan berkaitan dron manakala seorang lelaki berumur 46 tahun ditahan kerana menghalang penjawat menjalankan tugas.

“Kesemua kertas siasatan yang dibuka dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya negeri bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada rakyat di negeri ini kerana telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa bagi mengekalkan ketenteraman awam di sepanjang PRU lepas,” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com