Proses Undang-Undang Perlu Sama Rata - Najib


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata proses undang-undang perlu dilaksanakan secara sama rata ke atas semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada Malay Mail di sini, semalam, katanya, perdana menteri juga tertakluk kepada proses itu.

"Walau apa pun (undang-undang), ia perlu adil. Undang-undang perlu dilaksanakan dengan sangat adil, dan perkara sama diamalkan kepada orang lain. Semua orang mesti mematuhi undang-undang.

"Maksud saya, jika anda menerima 30 kuda daripada rakan (penerimaan) itu perlu direkodkan, kerana beliau mengaku menerimanya secara terbuka, yang kuda itu 'dihadiahkan' oleh rakannya.

"Beliau (Dr Mahathir) telah menerima penghargaan daripada rakannya dan mengakuinya secara terbuka," katanya.

Dalam temu bual bersama CNN Indonesia, dua tahun lalu, Dr Mahathir dilaporkan secara terbuka mendedahkan minatnya terhadap kuda. Beliau turut memaklumkan memiliki hampir 40 kuda dan beberapa ekor dihadiahkan kepadanya.

Perdana Menteri secara konsisten dilaporkan menegaskan bahawa siasatan terhadap skandal Najib dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mesti tertakluk kepada undang-undang.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tindakannya itu bukan untuk membalas dendam kepada Najib dan akan menerima layanan adil serta perlu menghadapi pendakwaan sekiranya didapati bersalah.

Dalam temubual itu, Najib mempersoalkan keputusan kerajaan menamakan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan kerana perbicaraan kes rasuah Setiausaha Agung DAP itu masih berjalan.

Berikutan itu, beliau mendakwa Pakatan Harapan (PH) sebagai "bersikap pilih kasih" apabila menilai integriti ahli parti sendiri.

"Ini (pilih kasih) bertentangan dengan apa mereka perkatakan. Mereka mengamalkan 'pilih kasih'. Apabila membabitkan orang mereka, ia (tindakan) lain, tetapi kalau membabitkan pemimpin BN (Barisan Nasional), (tindakan) mereka lain.

"Prinsipnya adalah undang-undang. Beliau (Guan Eng) tidak bersalah sehingga dibuktikan. Walaupun Guan Eng belum dibuktikan bersalah, tetapi ramai berpandangan adalah tidak sesuai beliau dilantik sebagai menteri Kewangan, sehingga dia membersihkan namanya.

"Saya tidak mengatakan dia bersalah, tetapi bersihkan nama anda terlebih dahulu," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com