Projek Tinggalan BN Akan Dipertimbang


JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri yang bakal dibentuk Pakatan Harapan (Harapan) Johor akan mempertimbangkan semula sebarang projek yang ditinggalkan BN sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, perkara itu adalah bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil tidak terlalu drastik sehingga boleh menjejaskan kredibiliti negeri sebagai salah satu kawasan yang sedang mengalami pembangunan pesat di negara.

Katanya, projek yang ditinggalkan akan diteliti semula dan sekiranya ia tidak mempengaruhi ekonomi perbincangan lanjut akan dibuat bersama barisan Exco Kerajaan Negeri.

“Kalau projek yang dilaksanakan tidak mendatangkan manfaat kepada negeri, saya rasa kita perlu hentikan tetapi kalau projek itu bagus dan tidak mendatangkan kesan kewangan kepada negeri kenapa tidak.

“Kita kalau buat sesuatu yang terlampau drastik pun nanti pelabur takut nak datang ke mari dan perkara itu tidak bagus untuk kita bangunkan negeri ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Jelasnya, tindakan pertimbang kembali projek tinggalan BN itu diambil kerana Harapan tidak mahu menjadi kerajaan yang mahu membalas dendam.

Mengulas pelaksanaan projek mega seperti Forest City, Osman berkata, masih terlalu awal untuk beliau komen terhadap perkara tersebut kerana tidak mempunyai butiran lanjut mengenainya.

“Kita kena ada dasar dan pemahaman lebih dahulu tentang projek ini sebab saya kosong dalam hal berkenaan Forest City ini.

“Kita akan buat perubahan setelah perkara ini diteliti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan inisiatif pengiktirafan ketua pembangkang di negeri ini juga akan dipertimbangkan berdasarkan keperluan serta keseragaman yang dilakukan di negeri lain.

“Kalau kita lantik ketua pembangkang dan bawa dalam mesyuarat serta luluskan komitmen lain atau keistimewaan kita kena beri.

“Jadi kita akan tengok dulu kekuatan kewangan negeri macam mana,” katanya.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com