PPBM Bahagian Pasir Gudang Desak Muhyiddin Letak Jawatan


JOHOR BAHRU - PPBM Bahagian Pasir Gudang pada Ahad mendesak Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengerusi Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan setiausaha peringkat negeri, Datuk Osman Sapian melepaskan jawatan berikutan pemilihan calon wakil rakyat PPBM di negeri itu yang didakwa sebagai 'bercelaru'.

Setiausaha Kerja PPBM Bahagian Pasir Gudang, Norzri Mokhtar berkata pemilihan calon yang dibuat oleh pimpinan tertinggi PPBM tidak seperti yang diputuskan dalam mesyuarat ketua-ketua bahagian sebelum ini.

"Dalam mesyuarat itu, sebulat suara telah mempersetujui ketua bahagian akan bertanding di kawasan masing-masing. Tapi sebaliknya yang berlaku," katanya pada sidang media khas di sini pada Ahad.

Menurutnya, beliau bersama ketua bahagian PPBM Pasir Gudang, Dr Hashim Yusoff telah bertungkus lumus menaikkan PPBM sejak September 2016 namun terkilan kerana nama Dr Hashim tidak dicalonkan.

Norzi berkata mereka telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin untuk meminta penjelasan dan sebab Dr Hashim tidak dicalonkan dan alasan yang beri bahawa Dr Hashim tidak mempunyai wang yang cukup untuk bertanding.

Beliau berkata tiada seorang pun daripada pihak atasan parti cuba mendapatkan respons daripada Dr Hashim.

Menurutnya, terdapat lebih dari lima kes berkaitan ketua bahagian yang tidak bertanding di kawasan masing-masing tetapi dipindahkan ke kawasan lain yang turut mempunyai ketua bahagian di kawasan itu.

Beliau berkata tindakan tersebut mengundang rasa tidak puas hati dan rasa sangsi bahagian terhadap kepimpinan tertinggi di negeri itu.

"Saya dan rakan-rakan sudah hilang kepercayaan terhadap pimpinan presiden. Saya meminta mereka meletakan jawatan dengan serta merta kerana perjuangan mereka sudah tidak berintegriti lagi," katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com