Politik Maki Hamun Bukan Budaya BN


TELUK INTAN - Politik keras memaki hamun, mengaibkan, menfitnah serta menggunakan kata-kata kesat bukan amalan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, seperti juga pemimpin BN yang lain, BN Perak sentiasa mengamalkan pendekatan secara berhemah selain menumpukan soal kerja dan khidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakili dalam memenuhi segala keperluan dan kehendak mereka.

Zambry percaya akhirnya rakyat akan membuat penilaian secara rasional dalam memilih siapakah wakil rakyat yang dikehendaki di kawasan mereka.

“Saya dan rakan-rakan dalam BN datang bukan semata-mata nak berpolitik atau berlawan siapa hebat dari segi menumpaskan lawannya atau hebat dari segi maki hamunnya.

“Sebaliknya kita mahu buat kerja daripada banyak bercakap. Kita yakin dengan kerja-kerja yang secara sistematik dan juga strategik yang dilaksanakan oleh BN untuk rakyat ini akan membawa kejayaan untuk kita bukan sahaja di Perak tapi di seluruh negara,’’ katanya.

Zambry berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Projek Membaikpulih dan Menaiktaraf Sistem Perparitan di Kampung Bahagia di sini kelmarin.

Projek yang siap sepenuhnya pada April lalu melibatkan kos sebanyak RM1.16 juta itu dapat memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk sekitar Kampung Bahagia setiap kali berlakunya musim tengkujuh akibat masalah longkang dan sistem perparitan. 

Yang turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com