Polis Kedah Terima Enam Laporan Daripada Pengundi


ALOR SETAR - Polis Kedah menerima enam laporan polis daripada pengundi mendakwa tidak dapat mengundi selepas mendapati nama mereka sudah selesai mengundi.

Enam laporan itu membabitkan empat di Balai Polis Jitra, satu di Balai Polis Naka, Padang Terap dan satu di Balai Polis Pendang.

Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) Asisten Komisioner Ab Rahaman Arsad berkata, laporan pertama dibuat seorang wanita berusia 63 tahun yang hadir ke Sekolah Rendah Kebangsaan Jitra 3 untuk mengundi namun gagal selepas semakan di pusat mengundi mendapati namanya sudah selesai mengundi.

"Laporan kedua pula dibuat seorang wanita berusia 28 tahun yang mengalami nasib sama selepas gagal mengundi ketika hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra.

"Seorang wanita berusia 47 tahun turut membuat laporan polis selepas namanya didapati sudah mengundi ketika hadir ke SMK Pulau Nyior, Jitra," katanya.

Ab Rahaman berkata, laporan polis yang keempat pula dibuat lelaki berusia 28 tahun yang turut mengalami nasib sama ketika hadir untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra.

"Laporan kelima dibuat di Balai Polis Naka Padang Terap oleh seorang wanita warga emas berusia 66 tahun kerana tidak dapat mengundi ketika hadir di SMK Naka selepas semakan mendapati namanya sudah mengundi," katanya.

Laporan keenam dibuat di Pendang oleh seorang lelaki Mohamad Faisal Mohd Noh, 45, dari Kampung Alor Ali, Tokai selepas tidak dapat mengundi di SK Kampung Rambai apabila namanya didapati sudah dipotong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ab Rahaman berkata, semua laporan polis itu dirujuk ke SPR untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan proses pengundian berjalan lancar di seluruh Kedah.

"Pihak Polis tidak menerima laporan kejadian yang boleh menjejaskan perjalanan proses mengundi.

"Perjalanan lalu lintas lancar dan tiada kesesakan teruk dilaporkan di pusat mengundi," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com