PM Umum 5 'Hadiah Istimewa' Hari Pekerja 2018


KUALA LUMPUR - Pengorbanan lebih 14 juta penjawat sektor swasta dan awam negara terus dihargai menerusi pengumuman lima 'hadiah istimewa', sempena Hari Pekerja 2018.

Ia mencakupi pemberian peruntukan khas, dasar perintah gaji minimum, perlindungan keselamatan sosial, kebajikan keluarga pekerja dan persiapan mendepani Revolusi Industri 4.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, pemberian khas bernilai RM3 juta kepada kesatuan sektor swasta pada tahun ini adalah bagi menghargai prinsip walak terhadap kerajaan yang terus dijadikan sandaran dalam kalangan pekerja di negara ini.

"Geran ini akan diagihkan sebaik mungkin oleh kesatuan untuk pelbagai kegunaan," katanya pada ucaptama perasmian Hari Pekerja 2018, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Selain itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor.

Penganjuran sambutan kali ke-46 bertemakan 'Pekerja Berkemahiran Peneraju Kecemerlangan Negara' dengan dihadiri lebih 5,000 penjawat daripada pelbagai sektor turut menyaksikan pemberian anugerah khas kepada 11 penerima terpilih.

Najib berkata, MTUC memperjuangkan dasar gaji minimum sejak 1998, namun pemimpin utama kerajaan ketika itu langsung tidak mengendahkan permintaan berkenaan, sekali gus menyaksikan golongan pekerja dibayar serendah RM400 sebulan.

"Tanpa perlu menunggu 22 tahun, saya mengumumkan kadar gaji RM900 untuk Semenanjung, manakala RM800 bagi Sabah dan Sarawak dilaksana menerusi Dasar Gaji Minimum Kebangsaan semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010.

"Saya akan menaikkan gaji minimum ketika ini, iaitu RM1,000 untuk Semenanjung, manakala RM920 bagi Sabah dan Sarawak kepada kadar baharu yang akan diumumkan pada tahun ini juga.

"Jika nak kadarnya lebih tinggi, kena undi dan bagi menang Barisan Nasional (BN) dululah," katanya disahut sorakan gemuruh yang memenuhi segenap ruang Dewan Merdeka.

INFO

*Pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan Hari Pekerja 2018.

*Kerajaan Barisan Nasional (BN) menganggap pekerja sektor awam mahu pun swasta, termasuk majikan dan 742 kesatuan sekerja di seluruh negara berjumlah lebih 14 juta adalah darah daging negara.

*Penjawat awam dan swata perlu menzahirkan walak (kesetiaan) kepada kerajaan yang dilantik secara demokrasi yang tidak culas menjaga kebajikan rakyat seiring dengan pendapat ulama bahawa prinsip itu wajar sampai ke tahap wajib.

*Geran khas kepada Kesatuan Sektor Swasta, bernilai RM3 juta diperuntukkan bagi menghargai prinsip walak pekerja di seluruh negara dan akan ditambah lagi jika BN meraih mandat baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

*Hadiah istimewa daripada Kerajaan Persekutuan sempena Hari Pekerja 2012 mengumumkan gaji minimum RM900 bagi Semenanjung, manakala RM800 untuk Sabah dan Sarawak.

*Gaji minimum RM1,000 bagi Semenanjung, manakala RM920 untuk Sabah dan Sarawak ketika ini akan ditingkatkan pada kepada kadar baharu, malah lebih tinggi jika BN menang pada PRU-14.

*Cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari diperuntukkan, dilaksana menerusi pindaan undang-undang yang dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada awal 2019.

*Peruntukan tambahan terhadap dana bantuan interim berjumlah RM60 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), menjadi nilai keseluruhan RM182 juta.

*Peruntukan tambahan RM60 juta, kadar bantuan interim untuk bulan pertama hingga ketiga, masing-masing ditingkatkan kepada RM1,000; RM800 dan RM600.

*Program latihan PERKESO bagi meningkatkan upaya kerja.

*Peruntukan RM200 juta yang disalurkan menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad untuk melahirkan tenaga kerja mahir negata dalam mendepani Revolusi Industri 4.0.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com