PM Era 1980-an Punca Kos Sara Hidup Meningkat


ARAU - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mendakwa seorang Perdana Menteri pada era 1980-an, sebagai individu yang bertanggungjawab menyebabkan kos sara hidup pada hari ini meningkat.

Tanpa menyebut nama individu berkenaan, Abdul Hadi berkata ketika pemimpin veteran itu menjadi Perdana Menteri, beliau mengubah negara ini daripada sebuah negara berkebajikan kepada negara korporat.

"Zaman British dulu mereka mengamalkan negara berkebajikan yang sebenarnya diambil daripada negara Islam, belajar percuma, hospital percuma.

"Zaman Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj) dan (Perdana Menteri Kedua) Tun Abdul Razak ia diteruskan, ada wakaf, ada sumbangan.

"Lepas pada itu pada zaman 1980-an, Perdana Menteri waktu itu ubah kepada negara korporat, di mana semua kena bayar dan caj. Sekolah kena bayar, hospital kena bayar," katanya ketika Majlis Amanat Presiden PAS di Madrasah Diniah Islamiah (MADI), di sini, malam tadi.

Abdul Hadi berkata, perubahan itu menyebabkan kos sara hidup meningkat, harga barang naik dan pendapatan rakyat tidak mencukupi untuk membeli barangan keperluan.

Dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 500 penyokong itu, Abdul Hadi mengulangi pendirian PAS untuk menjadi kuasa penentu atau 'king maker' pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Orang tanya dengan siapa? Barisan Nasional (BN) ka Pakatan Harapan (gabungan pembangkang)? Kita cakap siapa yang ikut dasar Islam itu yang kita pilih.

"Kalau BN nak, kita boleh bincang. Kalau Pakatan Harapan nak pun kita boleh berbincang. Kalau dua-dua nak dasar Islam, kita buat kerajaan campuran.

"Kalau kedua-duanya tidak mahu kepada Islam, tidak mengapa. PAS jadi pembangkang," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com