Pilihan Raya Dan Impak Media Sosial


PLATFORM media sosial terutama Facebook semakin hari semakin menjadi tumpuan sebagai 'pusat maklumat' rakyat Malaysia terutama pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ledakan maklumat berlaku pantas, berita demi berita disebarkan mengenai suasana dan isu semasa di seluruh negara. Ia menepati kenyataan saya sebelum ini bahawa PRU-14 akan berbentuk 'Pilihan Raya Facebook' atau 'Facebook Election'.

Ia amat terbukti dengan jenis ledakan maklumat daripada pelbagai sumber dan jumlah maklumat berkaitan yang dimuatkan dalam platform berkenaan.

Facebook akan terus menjadi perhatian media arus perdana, sama ada media penyiaran atau media cetak untuk memuatkan maklumat terkini secara langsung menerusi platform dalam talian.

Portal media persendirian juga ada versi Facebook dan 'live update' masing-masing, tidak ketinggalan media antarabangsa seperti Bloomberg Asia dan The Straits Times Singapura yang turut menyiarkan berita mengenai pilihan raya di Malaysia.

Yang lebih menambat hati, semua calon PRU-14 memuatkan aktiviti mereka, juga secara langsung untuk menyebarkan rakaman ucapan serta keratan kenyataan di Twitter dan aplikasi WhatsApp yang dimuatnaik dalam Facebook serta meraih banyak komen netizen.

Jelas, media sosial mempunyai impak amat kuat pada PRU-14 berbanding PRU-13 ketika penggunaan media baharu masih pada peringkat awal dan aplikasinya masih dalam proses adaptasi penggunaan.

Berbeza hari ini, penggunaan telefon pintar bertambah, sekali gus mempercepatkan proses penerimaan maklumat menerusi aplikasi versi 'mobile'.

Hampir keseluruhan parti politik mempunyai 'page' tersendiri, seperti juga calon yang bertanding, selain kandungan debat manifesto antara parti serta emosi penyokong dan pengundi dimuat naik segera dalam Facebook.

Kita sudah capai ke satu tahap di mana calon politik telah matang dalam penggunaan plat- form media sosial untuk hujahan politik.

Mereka tahu dan arif betapa kuatnya media sosial untuk meraih sokongan pengundi serta bagaimana ia boleh mencorakkan pendapat awam ke dalam bentuk bilangan 'likes' dan 'shares' yang kemudian boleh menjadi undi.

Jangkau tanpa sempadan

Hampir keseluruhan calon politik mengenal pasti bagaimana media sosial mampu menjangkau setiap lapisan pengundi berpotensi walau di mana pun kumpulan berkenaan berada.

Pada proses penamaan calon Sabtu lalu, kita dapat lihat bagaimana calon menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk berbincang terus dengan pengundi mereka mengenai pelbagai isu.

Contoh paling jelas ialah insiden calon pakatan pembangkang tidak dapat menjadi calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan kerana gagal menunjukkan pas pengenalan diri dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk masuk ke dewan penamaan calon.

Insiden itu mengundang kritikan pemimpin pembangkang di Twitter sebelum dibalas oleh pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan tuduhan pembangkang berhubung kes itu adalah fitnah.

Ini jelas menunjukkan berita di Rantau itu dimuat naik seminit sahaja selepas pengumuman rasmi calon bertanding kerusi DUN di dalam Parlimen Rembau itu.

Media sosial turut memuatkan berita sensasi yang menambat perhatian pengundi seperti pencalonan selebriti, Azwan Ali menentang abangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pencalonan anak Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, iaitu Nik Omar di bawah tiket PKR untuk menentang calon PAS.

Kepantasan laporan di media sosial juga melitupi kejadian atau insiden calon tertinggal kad pengenalan dan dilarang dimasuk ke pusat pencalonan, calon tidak dibenarkan melalui proses pencalonan berikutan alamat kad pengenalan tidak ditukar dan serta-merta digantikan calon lain, selain berita calon tertinggal surat pelantikan.

Media sosial juga memuatkan berita penyokong meminta calon parti mereka supaya segera ke pusat pencalonan kerana penyokong sudah menunggu sejak awal pagi.

Turut menambat perhatian berita mengenai calon yang memiliki rupa paras menawan seperti bekas Unduk Ngadau Sabah 2007 (Ratu Cantik), Jo Anna Sue Henley Rampas di Tuaran, Sabah.

Pengundi digital

Yang pasti, tempoh 11 hari kempen sejak Sabtu lalu akan menjadikan media sosial sebagai medan pertempuran parti politik.

Aplikasi berpengaruh lain ialah WhatsApp yang sememangnya tidak dapat dielakkan pada PRU kali ini. Walaupun ia mempunyai encrypted element, berita kempen yang disebarkan menerusinya juga mampu meraih undi pada peringkat kumpulan kecil dalam aplikasi terbabit.

PRU-14 juga menyaksikan kebangkitan 'pengundi digital' yang kali ini lebih aktif menyuarakan hujah terbuka di dalam media sosial. Ia pasti merancakkan lagi kempen pilihan raya sehingga hari terakhir pada 8 Mei ini.

Kemunculan 'pengundi digital' di arena antarabangsa lebih kepada versi pengundian dalam talian, namun di negara kita, ia lebih kepada pembabitan netizen dalam forum perbahasan politik.

Hakikatnya, Facebook pada hari ini adalah hab maklumat kepada semua pengguna seperti pengundi, parti politik, calon PRU, media Malaysia dan antarabangsa serta pemimpin luar dan badan bukan kerajaan dalam dan luar negara.

Maka, diharapkan pendekatan perdebatan politik yang sihat menjadi teras sepanjang tempoh berkempen kerana berita dimuat naik dalam media sosial boleh diakses seluruh dunia.

Taktik kecam-mengecam dan fitnah perlu dielakkan kerana ia membuka ruang pengundi untuk menilai calon yang bertanding.

Segala hujahan politik perlu dikemukakan secara bijaksana, berunsurkan nombor dan fakta supaya maklumat sahih sampai ke minda dan hati pengundi, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan bijak.

Penulis adalah Penganalisis Politik & Media Sosial Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com