Piala Dunia FIFA 2018 Disiar Secara Langsung Di RTM


PUTRAJAYA – Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan secara langsung pertandingan bola sepak Piala Dunia FIFA 2018 secara percuma, demikian diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet di Perdana Putra di sini, Gobind berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

“Ya, kami membincangkannya dan Kabinet bersetuju bahawa kami akan menyiarkan Piala Dunia secara langsung melalui RTM1.

“Kos dan bagaimana kami akan menanganinya, saya fikir perkara ini akan dibincangkan oleh Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) esok,” katanya.

Menjawab satu soalan sama ada siaran secara langsung Piala Dunia sebagai hadiah kepada rakyat memandangkan Pakatan Harapan (PH) telah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Gobind berkata ia adalah atas permintaan rakyat.

“Permintaan itu dimaklumkan kepada saya. Jadi, saya telah membawanya ke Kabinet dan Kabinet telah membuat keputusan,” katanya.

Antara mereka yang mengemukakan cadangan agar pertandingan bola sepak Piala Dunia itu disiarkan secara langsung adalah Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Ditanya sama ada kementerian akan berbincang dengan para pengiklan untuk mengiklan di RTM1, Gobind berkata: “Itu adalah aspek yang saya fikir akan disentuh Menteri Kewangan, esok,” katanya.

Sebanyak 32 pasukan akan bertanding untuk menjadi juara Dunia dalam pertandingan bola sepak Piala Dunia yang diadakan di Rusia mulai 14 Jun hingga 15 Julai. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com