PH Terdesak Guna Nik Omar Curi Undi Penyokong PAS - PAS Selangor


SHAH ALAM – PAS Selangor menyifatkan tindakan PH menggunakan anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz untuk ‘mencuri’ undi penyokong parti Islam itu sebagai langkah yang terdesak.
Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata ini kerana ‘anasir’ seperti itu langsung tidak menggugat sokongan pengundi PAS di Selangor kerana mereka yakin dengan persona keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mampu berjuang dalam politik.

Tambahnya, tidak semua anak-anak pemimpin parti mampu menyinar dalam dunia politik dan menyifatkan penyertaan Nik Omar dalam PH sebagai langkah yang salah, dengan calon PKR DUN Chempaka Kelantan itu pasti menyesali tindakannya suatu hari nanti.

“Kenapa (PH) perlu gunakan Nik Omar sedangkan dia tiada jawatan dalam Pakatan Harapan mahupun Amanah malah beliau juga kata beliau bertanding sebagai sahabat PH.

“Kita (anggota PAS) tahu apa yang berlaku, apa susur galurnya, siapa ambil kesempatan dan siapa anggota keluarga Tuan Guru (Nik Abdul Aziz) yang mampu berjuang dalam politik,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, PAS Selangor amat kesal dengan tindakan Nik Omar menyertai PH sehingga dipergunakan pihak tertentu selain sanggup turun ke Selangor bagi membantu kempen di Shah Alam.

Mengulas mengenai tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sering mengkritik PAS dalam kempennya, Roslan Shahir hanya tersenyum sambil menyindir “dia tahu PAS mampu menang, sebab itu dia lebih mengetengahkan isu PAS berbanding BN”.

Sikap Mohamed Azmin itu katanya, dilihat seperti “kacang lupakan kulit” kerana kedudukannya sebagai menteri besar dahulu adalah hasil undian PAS .

Roslan Shahir berkata calon DUN Bukit Antarabangsa itu patut muhasabah diri dan melihat tindakannya sepanjang menjadi Menteri Besar kerana gagal mempertahan kepentingan umat Islam semasa isu penganjuran pesta arak suatu masa dulu selain membenarkan percambahan rumah-rumah urut di Selangor. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com