Pertubuhan Hua Zong Tuntut Mahathir Beri Satu Jawatan TPM, Menteri Penting Wakili Cina


Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) mencadangkan supaya Kabinet baharu yang dibentuk Tun Dr. Mahathir Mohamad mewujudkan satu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi oleh wakil Cina. 

Selain itu, Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah turut mencadangkan supaya wakil keturunan Cina dilantik untuk jawatan menteri atau timbalan menteri di beberapa kementerian yang dianggap penting.

Kementerian itu ialah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kewangan, Pendidikan dan Dalam Negeri.

Hua Zong turut meminta kerajaan mengotakan semua janji pilihan raya termasuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tol lebuh raya, serta mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Yin Huah percaya bahawa Dr. Mahathir yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai Perdana Menteri tidak akan berdepan masalah dalam memimpin negara.

Katanya kepada Sinchew Daily, dengan sokongan tahap “tsunami” yang diberikan rakyat, kerajaan yang dibentuk dipercayai dapat melakukan “sesuatu” dalam negara.

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dalam pada itu juga menggesa kerajaan supaya segera mengiktiraf UEC.

“Kami sedia berbincang dengan pihak berkenaan tentang isu pengiktirafan UEC, peruntukan sistematik kepada sekolah Cina serta masalah lain melibatkan sekolah aliran ini,” kata Vincent Lau, Pengerusi Dong Zong.

Sementara itu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) telah menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu bagi mewujudkan suasana mesra perniagaan, mengurangkan kos niaga serta merancakkan kemajuan ekonomi di negara ini.

ACCCIM dalam satu kenyataan memberitahu, ia percaya kerajaan akan melaksanakan lebih banyak dasar terbuka dan adil yang akan memberi manfaat kepada rakyat pelbagai kaum. 

Sumber : MalaysiaGazette

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com