Pertahanan Negara Tanggungjawab Bersama


KOTA SAMARAHAN - Rakyat tidak harus leka dengan keamanan yang dikecapi ketika ini kerana ancaman keselamatan kini boleh datang dalam pelbagai bentuk.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar, berkata masyarakat harus sedar, musuh sentiasa memerhatikan keadaan dalam negara dan mereka boleh menimbulkan kacau bilau, jika pasukan keselamatan leka.

Justeru, katanya, semua pihak harus sentiasa bersama pasukan keselamatan untuk memastikan keamanan negara terus terjamin.

"Pertahanan negara adalah tanggungjawab semua, bukan hanya diserahkan kepada pasukan keselamatan sahaja, sebaliknya semua agensi kerajaan, swasta, malah rakyat harus memantau keadaan sepanjang masa.

"Ini kerana, kita kini menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman bukan lagi datang dalam satu bentuk, sebaliknya ia boleh muncul dari pelbagai arah dan dalam bentuk yang berbeza," katanya.

Mohd Zaki berkata demikian kepada media selepas perbarisan penghargaan untuk beliau di Kem Muara Tuang, di sini, semalam.

Beliau yang juga Panglima pertama Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat yang diwujudkan sejak empat tahun lalu, akan bersara akhir bulan ini.

Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan wilayah Sabah dan Sarawak ditubuhkan pada 1 Mac 2014.

Mohd Zaki berkata, sepanjang empat tahun mengetuai ketumbukan Tentera Darat itu, banyak perancangan dilakukan bagi memantapkan pertahanan wilayah ini berjaya dilaksanakan.

Antaranya penubuhan 31 Briged Sempadan yang akan memperkukuhkan lagi kawalan sempadan Malaysia dan Indonesia di wilayah ini.

Selain itu, kekuatan Tentera Darat Malaysia di wilayah ini juga akan dilipatgandakan dengan penubuhan Divisyen Kelima Infantri yang berpangkalan di Sabah.

"Sekarang, proses penubuhan Divisyen berkenaan masih giat dijalankan menerusi nukleas Pasukan Petugas 450 dan apabila semua proses selesai, saya memberi jaminan tahap keselamatan wilayah Sabah dan Sarawak akan semakin meningkat," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com