Permohonan Tian Chua Didengar Khamis Ini


KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Tian Chua, memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memohon deklarasi bahawa beliau layak dan berhak bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Saman itu difailkan melalui Tetuan Ngeow & Tan di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, pada jam 9.45 pagi.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 55, bagaimanapun tidak hadir dan diwakili peguamnya Ngeow Chow Yin.

Beliau menamakan SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain sebagai responden pertama dan kedua.

Pendengaran kes itu ditetapkan Khamis ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan.

Berdasarkan writ saman, bekas ahli Parlimen Batu itu memohon deklarasi bahawa beliau layak sebagai calon kerusi Parlimen di PRU-14 mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang.

Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa beliau berhak untuk bertanding dan diterima sebagai calon oleh responden.

Beliau mendakwa, berdasarkan undang-undang yang termaktub, hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Beliau berkata, pada PRU-13, dokumen penamaan calonnya diterima dan dibenarkan bertanding walaupun ketika itu beliau ada hukuman denda RM2,000.

Sejak PRU-13 sehingga 7 April lalu, Tian Chua bertugas sebagai ahli parlimen dan tiada pihak membangkitkan isu, menafikan atau mencabar statusnya itu.

Tian Chua gagal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu P115 apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua berkata, pada 28 April lalu, beliau bersama pencadang, Badaruddin Ismail dan penyokong, Jacob Isaiah hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama pada jam 9 pagi untuk menyerahkan borang penamaan calon bagi Parlimen Batu.

Pada jam 10.30 pagi, responden pertama memberitahu bahawa penamaan beliau ditolak atas alasan sudah dihukum denda RM2,000 dalam satu kes di Mahkamah Shah Alam.

Tian Chua membantah keputusan itu dan memaklumkan bahawa mahkamah sudah mengisytiharkan beliau tetap layak sebagai seorang ahli parlimen.

Beliau mendakwa keputusan responden menolak penamaannya sebagai calon Parlimen Batu adalah mala fide (berniat jahat), salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan.

Tian Chua mendakwa, dia disabitkan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan dihukum denda RM3,000 di Mahkamah Sesyen Jenayah Shah Alam dan beliau merayu terhadap keseluruhan penghakiman.

Pada 2 Mac 2018, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman, memutuskan denda itu dikurangkan kepada RM2,000.

Beliau mendakwa tiada rayuan dibuat atas hukuman itu, kerana percaya bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan status dan kelayakannya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com