Perlu Pelan Jangka Panjang Atasi Banjir Kilat Di Kulim


KULIM - Pelan jangka panjang perlu dirumus terutama dengan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membantu menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda di sekitar Bandar Baharu.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata projek tebatan banjir di kawasan itu memerlukan peruntukan yang besar hingga RM150 juta bagi mengelakkan kejadian banjir kilat terus berulang.

Katanya, berdasarkan maklumat, ada kira-kira sembilan kawasan sering berlaku banjir kilat jika hujan lebat dalam tempoh setengah jam hingga sejam.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, antara kawasan yang dikenal pasti ialah Sungai Kechil Ilir, Kampung Berjaya, Parit Nibong, Relau, Permatang Pasir, serta beberapa tempat lagi.

"Daripada maklumat saya dapati antara puncanya ialah daripada sistem perparitan dan saliran iaitu anak sungai-sungai kecil.

"Hasil tinjauan saya mendapati anak-anak sungai serta parit cetek akibat dasarnya dipenuhi pasir, ditambah pula dengan ketiadaan penyelenggaraan berkala selain kawasan sungai diliputi dengan tumbuhan sehingga aliran air tersekat perlahan.

"Ada setengah kawasan punca banjir ialah disebabkan aktiviti di kawasan bukit sehingga lumpur menyebabkan sungai menjadi cetek, seperti di kawasan Relau," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Sukarelawan Pakatan Harapan dengan Media di Dewan Putra, kelmarin.

Katanya, pihaknya difahamkan penyelenggaraan sungai di kawasan Bandar Baharu oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hanya dilakukan sekali dalam setahun kerana kekurangan dana.

"Kami telah merangka pelan jangka panjang dan jangka pendek bagi mengatasi masalah ini.

"Pelan jangka pendek termasuk membersihkan sistem perparitan dan saliran di kawasan terbabit, manakala untuk pelan jangka panjang, kita bercadang untuk membina tebatan banjir yang baharu bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata pelan jangka panjang itu mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk dilaksanakan kerana perlu perancangan yang teliti.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com