Perlantikan Pemimpin Tertinggi Oleh Tun M Tiada Perbincangan Dengan PKR - Rafizi


KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa pelantikan pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai menteri kanan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa rundingan dengan PKR.

"Keputusan dibuat tanpa penyertaan kami (dalam perbincangan). Dia 'melanggarnya'...proses perbincangan yang sepatutnya, tidak berlaku," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebelum itu, beliau dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu belum muktamad kerana perbincangan masih berjalan.

"Sebarang keputusan mengenai apa-apa pelantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Pada sidang media petang semalam, Perdana Menteri mengumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan, manakala Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Dr Mahathir berkata, ketiadaan wakil PKR dalam pengumuman itu mengambil kira presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sudah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Rafizi sebelum itu mempersoalkan ketiadaan wakil PKR dalam mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet di Ibu Pejabat PPBM di Wisma Yayasan Selangor, Petaling Jaya.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, pelantikan menteri Kabinet dibuat Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat daripada Perdana Menteri.

Dalam kenyataan itu, Rafizi turut memaklumkan Dr Mahathir akan bertemu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras untuk membincangkan soal pelantikan menteri.

Seorang pengawal di hospital itu mengesahkan Mahathir sudah bertemu Anwar dan keluar menerusi pintu belakang pada kira-kira 7 malam, semalam.

Dr Mahathir turut berkata, semua empat parti komponen PH diminta menghantar tiga nama bagi baki tujuh kementerian yang belum diumumkan.

Kementerian itu adalah Kementerian Pendidikan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Ekonomi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Multimedia, Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Negeri.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com