Peratusan Keluar Mengundi Di Kedah Tinggi - SPR



ALOR SETAR - Keadaan cuaca baik serta peningkatan kesedaran tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia antara dua faktor utama mendorong peratusan keluar mengundi yang tinggi direkodkan di Kedah.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Kedah, Zuhri Ismail berkata, sehingga jam 1 tengah hari tadi, jumlah pemilih berdaftar yang keluar mengundi di seluruh negeri adalah sebanyak 58 peratus.

Katanya, situasi ini dilihat amat baik sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada pihaknya untuk melihat tahap 85 peratus keluar mengundi mampu dicapai seperti yang disasarkan SPR.

"Baguslah ramai orang keluar mengundi... mungkin mereka ingat dari segi faktor cuaca di Kedah mutakhir ini, menyebabkan ramai yang keluar awal pagi kerana bimbang hujan pada sebelah petang.

"Selain itu faktor kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab juga memainkan peranan. Kita harap sasaran 85 peratus yang disebut sebelum ini dapat dicapai menjelang petang ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mensasarkan 85 peratus daripada pemilih berdaftar di negara ini akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 ini.

Kedah yang mempunyai 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memiliki 1,146,492 pemilih berdaftar.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com