Pengundi Kulim Awas Janji Manis Pembangkang


KULIM - Pengundi Parlimen Kulim/Bandar Baharu diingatkan supaya bijak membuat keputusan untuk memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu yang mampu mendengar keluh kesah dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, wakil rakyat yang di­pilih itu perlu sentiasa hadir untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan hanya muncul semasa kempen PRU namun hilang selepas berjaya menjadi wakil rakyat.

“Wakil rakyat perlu bertanggungjawab dan amanah menjaga kepentingan rakyat selain mampu menyelesaikan masalah mereka sepanjang masa.

“Jadi memilih wakil rakyat perlu menjurus juga kepada kemampuan menyelesaikan masalah rakyat bukan orang luar yang datang memberi janji manis dan palsu kemudian menghilangkan diri dan gagal menunaikannya,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian semasa hadir program gotong-royong bersama penduduk kampung di Balai Polis Mahang, dekat sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Balai Polis Mahang, Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim, anggotanya dan penduduk Kampung Mahang.

Katanya, pengundi perlu menilai kerja yang telah dilaksanakan oleh beliau selama ini dalam membangunkan da­erah Kulim/Bandar Baharu hingga menjadikan daerah ini cukup selesa untuk didiami.

Katanya, sebagai parti peme­rintah, calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) diyakini mampu menggapai harapan rakyat berbanding dengan calon parti lawan yang hanya berkehendakkan kuasa semata-mata.

“Jangan tersalah pilih kerana calon lain bukan betul-betul ingin berkhidmat kepada rakyat seperti mana kita.

“Berada di bawah naungan BN tentunya lebih baik daripada diperintah oleh pihak pembangkang kerana kita (BN) sentiasa menjaga kebajikan rakyat sepanjang masa,” katanya.

Sumber: Utusan


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com