Pengundi Cina Jerlun Diyakini Terus Menyokong BN


AYER HITAM – Penyandang dan calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz percaya pengundi Cina di kawasan itu akan memilih parti yang boleh memberi pulangan kepada mereka, baik dari sudut ekonomi mahupun kemasyarakatan.

Beliau berkata ini kerana sama seperti kaum lain, pengundi Cina di Jerlun seramai 3,730 daripada 54,132 pengundi berdaftar itu, juga menginginkan pembelaan dan pembangunan sewajarnya.

“Kita bantu mereka sepertimana kaum lain, misalnya melalui aspek pendidikan, rumah berhala begitu juga urusan kemasyarakatan dan kita yakin mereka akan beri sokongan kepada calon BN.

“Sebab kita perlu sokongan segenap lapisan masyarakat dan saya yakin mereka (pengundi Cina) tidak akan terpedaya dengan dakyah atau hasutan dibawa pembangkang, kita perlu bersama bangunkan Jerlun,” katanya kepada Bernama.

Malah beliau sendiri mempunyai hubungan baik dan akrab dengan pengundi Cina di situ yang disifatkannya sebagai pengundi matang.

“Sebab itu kita harapkan supaya mereka (pengundi Cina) membuat keputusan matang untuk beri undi kepada BN kerana mereka sedar, hanya BN mampu membela mereka di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu Ketua MCA Bahagian Jerlun Ooi Ah Lai berkata ketiga-tiga calon BN di kawasan itu termasuk calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh Ahmad Azhar Abdullah dan calon DUN Ayer Hitam Datuk Abu Hasan Sarif diyakini mampu memperkasakan Jerlun lagi dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Lebih penting, kesemua mereka adalah calon tempatan dan sudah tentu senang untuk berjumpa mengadu apa-apa masalah, bukannya yang bila menang terus tak nampak muka atau hanya duduk dalam pejabat,” katanya.

Beliau memberi contoh seperti Othman, yang tetap mempunyai masa untuk bersama rakyat walaupun memegang jawatan besar seperti timbalan menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com