Pengerusi PTPTN: Beban Bertambah Jika Hutang Dihapus


Katanya, perbelanjaan lain mungkin terpaksa dipotong, contohnya bajet pembangunan, kebajikan, kesihatan atau lain-lain.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata ia meningkatkan jumlah hutang negara kerana pinjaman tetap perlu dibayar oleh perbadanan itu kepada institusi kewangan. (Gambar facebook)

LENGGONG: Hasrat Pakatan Harapan dan PAS untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) sekiranya memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukanlah langkah realistik.

Pengerusi PTPTN Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jika hasrat pembangkang itu direalisasikan, ia meningkatkan jumlah hutang negara kerana pinjaman sebanyak RM52.86 bilion yang diberikan kepada 2.84 juta peminjam tetap perlu dibayar oleh perbadanan itu kepada institusi kewangan.

“Dalam situasi ini, perbelanjaan lain mungkin terpaksa dipotong misalnya bajet pembangunan, kebajikan, kesihatan atau lain lain bagi tujuan berkenaan… ia pastinya memberi kesan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas berkempen di Lawin semalam.

Beliau mengulas manifesto PH dan PAS yang mahu menghapuskan pinjaman PTPTN jika menang PRU14 pada 9 Mei ini.

Sementara itu, Shamsul Anuar yang mempertahankan kerusi Lenggong, berkata beliau akan meneruskan program pembangunan jika terus diberi mandat oleh pengundi kawasan itu.

Sementara itu, beberapa pengundi yang ditemui di sini menyuarakan sokongan kepada BN yang dilihat mampu memberikan pembangunan dan keselesaan kepada rakyat.

Pesara sektor awam, Musa Isa, 72, berkata ini berbeza dengan pembangkang yang terbukti kucar-kacir dalam kepimpinan mereka.

“Kerajaan BN banyak melaksanakan pembangunan dan ia terbukti kerajaan yang mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Peniaga kedai makan Zulkurnain Abdul Hamid, 55, pula berharap pengundi tidak membuat kesilapan pada PRU14 demi masa depan generasi akan datang.

Sumber: Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com