Pengerusi BN Kulim-Bandar Baharu Sedia Beri Kerjasama


ALOR SETAR - Pengerusi BN Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir bersedia memberikan kerjasama kepada Ahli Parlimen kawasan tersebut yang memenangi PRU14 kali ini.

Beliau berkata kerjasama itu adalah untuk memastikan kawasan dan rakyat di sini terus menjadi aman, bersih dan ceria seperti yang telah diperjuangkannya sejak menjadi wakil rakyat di situ selama sepenggal.

"Insya-ALLAH saya sentiasa bersedia untuk memberi sebarang kerjasama kepada Ahli Parlimen baru ini, walaupun berbeza ideologi pilitik.

"Namun demi memastikan seluruh warga Kulim- Bandar Baharu terus aman, bersih dan ceria saya akan bersedia untuk sama-sama memberi yang terbaik untuk rakyat," katanya memetik Sinar Online.

Abdul Aziz yang juga bekas penyandang kerusi Parlimen di situ turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang berjaya merampas menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat saya, saudara Saifuddin Nasution, kerana berjaya dipilih sebagai wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab kepada negara lalu menyuburkan lagi proses demokrasi," katanya.

Pada PRU14 lalu, Abdul Aziz mendapat undi  18,299 dan tewas kepada Saifuddin yang mendapat undi sebanyak 23,159 dengan majoriti 4,860, manakala calon Pas Hassan Razak mendapat undi sebanyak 12,885. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com