Pengamal Perubatan Tradisional, Kontemporari Sokong PM


CYBERJAYA - Lebih 30,000 pengamal perubatan tradisional dan komplementari menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka terdiri daripada pengamal perubatan tradisional Melayu, Cina dan India selain komplementari dan homeopati yang menyatakan sokongan berkenaan dan berharap Najib terus diberi mandat mentadbir negara.

Yang Dipertua dan Pengasas Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (GAPERA), Adzhar Latif, berkata Perdana Menteri melaksanakan pelbagai perubahan dalam menaikkan bidang perubatan tradisional dan komplementari di negara ini termasuk memperkenalkan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775).

"Selama ini, bidang perubatan tradisional dan komplementari tenggelam dalam 'peta' perubatan kerana tidak diiktiraf, namun dalam era Najib, beliau memandang serius dan mengambil inisiatif benar-benar ikhlas memartabatkan bidang ini.

"Kini akta berkenaan sudah dilulus, dikuatkuasa dan diwartakan, jadi besar maknanya kepada pengamal perubatan tradisional dan komplementari kerana bidang ini diiktiraf," katanya pada sidang media ikrar taat setia dan sokongan padu kepada Najib di sini.

Adzhar berkata, GAPERA juga diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, malah dengan adanya akta berkenaan, ia memastikan perkhidmatan disampaikan kepada masyarakat adalah selamat.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri kerana impaknya akta ini, ia meletakkan pengamal perubatan tradisional dan komplementari bersama di arus perdana, sekali gus perkhidmatan disampaikan kepada khalayak dengan lebih bermaruah.

"Impak dari segi ekonomi pula, misalnya pengamal perubatan tradisional bagi penjagaan ibu selepas bersalin yang terdiri daripada kumpulan B40 dapat meningkatkan pendapatan hingga berbelas ribu ringgit sebulan.

"Berbanding dahulu, mereka memperoleh kira-kira RM500 hingga RM600 sebulan dan ada juga menerima RM300 dan jika lebih pun sekitar RM1,000," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin Perdana Menteri akan menang pada PRU-14 seterusnya perubatan tradisional dan komplementari akan terus maju pada masa hadapan serta menjadikan negara ini sebagai hab bidang berkenaan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com