Penduduk Baling Sambut Baik Pembinaan UiTM


ALOR SETAR - Penduduk Baling menyambut baik pembinaan sebuah lagi cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini yang membabitkan kos RM340 juta yang dijangka siap 2023 bagi memperkasakan bidang pendidikan.

Bagi seorang penduduk, Zaini Ramli, 50, dari Kampung Luar, Mukim Siong berkata, mereka gembira apabila kerajaan akan membina sebuah universiti di daerah ini.

Jelasnya, dengan pembinaan sebuah pusat pengajian di sini ia dapat merancakkan lagi pembangunan pendidikan dan ekonomi kepada penduduk di daerah ini.

"Saya gembira kerana peluang anak-anak menimba ilmu sudah terbentang luas di sini.

"Sebagai penduduk luar bandar sudah tentu kami gembira kerana anak-anak dapat belajar lebih dekat dan mengurangkan kos perbelanjaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Universiti Teknologi Mara, Cawangan Kedah Kampus Baling, di Kampung Bandar , Siong, dekat sini, Jumaat.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Khairuddin Yunus, 41, dari Kampung Ketemba Kuala Pegang berkata, langkah yang diambil kerajaan bertujuan menjadikan daerah ini sebagai gedung ilmu.

"Daerah ini sudah berkembang maju sejak lima tahun ini apabila kerajaan membangunkan pelbagai kemajuan untuk rakyat.

"Kita berterima kasih kepada pemimpin yang ada kerana berusaha membawa masuk pusat pengajian untuk masyarakat di sini," katanya memetik laporan BH Online.

Bagi pelajar, Nurul Hawa Zaidi, 18, dari Kampung Tok Harun, Pulai berkata, dengan adanya cawangan UiTM di daerah ini membuktikan keprihatinan kerajaan membantu rakyat Baling khusus anak golongan berpendapatan rendah untuk belajar di situ.

"Kalau sebelum ini banyak tawaran belajar diperoleh dari luar kerana tidak ada pusat pengajian tinggi di daerah ini, ia turut menyukarkan ibu bapa menghantar anak untuk belajar.

"Dengan adanya sebuah institusi pengajian tinggi memberi peluang kepada kami menimba ilmu di situ," ujarnya. - Kedahnews.com

#UndiBN
#KekalBN
#BersamaBN
#RakyatDidahulukan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com