Pendaki Kudung Dua Belah Kaki Tawan Everest


SEORANG pendaki warga emas dari China, Xia Boyu yang kudung kedua-dua belah kakinya, berjaya menawan gunung Everest pada pagi Isnin.

Ketika mendaki gunung tertinggi di dunia itu pada tahun 1975, Xia hilang kedua belah kakinya akibat frostbite selepas terpaksa memberikan beg tidurnya kepada seorang rakan yang sedang sakit sewaktu kedatangan ribut beraltitud tinggi.

Kini berumur 69 tahun, dia menjadi individu kudung dua belah kaki (double amputee) kedua yang berjaya sampai ke puncak Everest dan orang pertama memulakan ekspedisi pendakian dari belah Nepal.

Sewaktu peristiwa lebih 40 tahun lalu itu, kaki Xia mula menjadi hitam kerana terlalu sejuk dan terkean frostbite selepas ribut melanda di ‘zon maut’ gunung itu pada ketinggian 8,000 meter dari paras laut.


Keadaan tersebut menyebabkan kumpulannya terperangkap di kawasan yang tidak jauh dari puncak Everest tersebut selama tiga malam berturut.

Disebabkan itu, kaki Xia terpaksa dipotong ketika umurnya hanya 25 tahun. Pada 1996 pula, kakinya dipotong lagi dan kali ini dari atas lutut pula kerana bergelut dengan penyakit Limfoma.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya itu tidak menghalang impian 40 tahunnya untuk menawan puncak gunung Everest dan akhirnya selepas beberapa kali percubaan, dia kini berjaya mencapai objektifnya.

“Mendaki Gunung Everest adalah impian saya. Saya perlu cuba sedaya-upaya untuk mencapainya.

“Ia juga merupakan satu objektif peribadi, satu cabaran yang telah ditetapkan oleh takdir,” katanya kepada AFP sebelum memulakan pendakian April lalu.

Berita gembira mengenai kejayaan Xia mendaki gunung tersebut itu disahkan sendiri oleh anaknya, Cloud Xia di laman sosial WeChat yang mendedahkan bahawa bapanya berjaya sampai ke puncak pada jam 8.26 pagi waktu Nepal.


“Ayah saya telah berjaya sampai ke puncak Everest pada pukul 8.26 pagi waktu Nepal! Akhirnya dia telah berjaya mencapai impian sejak 40 tahun yang lalu,” tulis Claud Xia.

Pendakian Xia itu dibantu oleh pemandu arah, Mingma G. Sherpa, seorang pendaki berpengalaman warga Nepal dan mereka kini dilaporkan dalam perjalanan turun dari gunung berkenaan.

Kejayaan kali ini lebih manis untuk Xia selepas percubaannya mendaki gunung Everest pada tahun 2014,2015 dan 2016 gagal sampai ke puncak. Pada tahun 2014 dia terpaksa membatalkan ekspedisi disebabkan runtuhan salji.

Pada 2015 pula, satu gempa bumi di Nepal telah menyebabkan runtuhan salji lebih banyak berlaku di Everest. Dan pada 2016, Xia hanya perlu mendaki 100 meter untuk ke puncak namun terpaksa berpusing balik disebabkan badai salji yang tiba-tiba melanda.

Sebelum ini, pendaki dari New Zealand, Mark Inglis merupakan pendaki kudung kedua belah kaki pertama yang berjaya mencapai puncak Everest melalui jalan dari Tibet pada tahun 2006. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com