Pemuda UMNO Kedah Cadang Semua Jawatan Dipertandingkan


ALOR SETAR - Pemuda Umno Kedah mencadangkan semua jawatan dalam pemilihan parti akan datang dipertandingkan di semua peringkat.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ahli Umno harus berani melakukan perubahan untuk membina semula parti, selepas parti itu ditolak rakyat pada PRU14.

Pihaknya turut menyarankan agar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mempertimbangkan cadangan untuk mengisi dua jawatan teratas dalam parti, sama ada Presiden atau Timbalan Presiden.

“Saya sokong kenyataan Khairy yang menolak cadangan tidak pertandingkan jawatan tertentu pada pemilihan. Umno perlu mulakan proses pemulihan dengan meletakkan pemimpin yang betul di tempat sepatutnya,” katanya.

Menurutnya, tidak perlu lagi tindakan untuk menjaga hati pemimpin tertentu, sebaliknya fokus kepada usaha membina kembali parti daripada kehancuran.

“Faktor kekalahan PRU lalu adalah kerana rakyat melihat Umno sebagai feudal dan tidak dinamik, sebaliknya Pakatan Harapan yang dilihat lebih bercirikan TN50 berbanding BN,” katanya.

Shaiful Hazizy berkata, ahli parti harus berani membuat keputusan sebagai isyarat awal kepada rakyat untuk berdepan PRU15.

“Sekiranya gagal memberi mesej positif kepada rakyat, pastinya Umno kalah pusingan awal sebelum masuk gelanggang,” katanya.

Pemuda Umno Kedah juga mahu perubahan tidak hanya berlaku di peringkat kepimpinan tertinggi, malah termasuk peringkat bahagian parti itu.

“Ketua Umno Bahagian yang terlalu lama pegang jawatan perlu tunjukkan mereka berjiwa besar untuk beri laluan kepada muka baharu, supaya Umno nampak segar dan relevan sepanjang masa, pada masa sama memberi isyarat positif kepada rakyat,” katanya.

Semalam, Umno Melaka mencadangkan tiga jawatan tertinggi parti, iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan satu daripada jawatan Naib Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, Umno negeri itu mencadangkan tiga nama bagi mengisi jawatan terbabit iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden; Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Timbalan Presiden) dan Khairy Jamaluddin (Naib Presiden).

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com