Pemimpin DAP Terus Mainkan Isu Tsunami Melayu


SEREMBAN - Isu tsunami politik Melayu terus menjadi modal pemimpin DAP untuk menarik perhatian orang ramai dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Antara yang memainkan isu tersebut ialah Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke Siew Fook ketika ceramah yang dihadiri kira-kira 50 penduduk di Taman Dusun Nyior, Ampangan, di sini malam Jumaat.

Bagi meyakinkan orang ramai, beliau mendakwa gelombang perubahan undi Melayu sedang berlaku dengan menjadikan jumlah kehadiran orang ramai semasa ceramah gabungan pembangkang PKR sebagai bukti.

"Bagaimanapun saya hairan antara yang dakwa tidak ada tsunami Melayu adalah MCA. Tetapi MCA ini parti Melayukah?," katanya di sini.

Beliau yang bertanding sebagai calon PKR kerusi Parlimen Seremban turut mengakui gabungan pembangkang memerlukan undi orang Melayu terutama di Kedah, Kelantan dan Terengganu untuk menubuhkan kerajaan Pusat.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai menyusahkan gabungan pembangkang kerana melarang gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad diletakkan pada poster dan kain pemidang kempen.

Ujarnya, peraturan SPR yang hanya membenarkan gambar dua pemimpin utama parti bertanding dipamer menyebabkan mereka terpaksa menutup gambar bekas Perdana Menteri itu di sekitar Seremban.

"Semalam saya jumpa Dr. Mahathir dan minta maaf kerana terpaksa tutup gambarnya tetapi beliau hanya tersenyum," katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com