Pembunuh Dr Fadi Mungkin Guna Uzi


BANGKOK - Dua lelaki kelihatan seperti orang 'Asia Barat' yang disyaki membunuh pensyarah warga Palestin, Dr Mohamed Fadi Al-Batsh di Setapak bulan lalu, mungkin menggunakan pistol atau submesingan (SMG) dalam melaksanakan misi kejam mereka.

Sumber keselamatan memberitahu BERNAMA, pasukan penyiasat tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan sepucuk 'Uzi', iaitu submesingan jenis kompak dan mudah disembunyikan, yang sering digunakan anggota pasukan khas.

"Ia boleh jadi pistol atau submesingan. Ya, mungkin mereka menggunakan sepucuk 'Uzi' (untuk membunuh Al-Batsh)," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, maklumat itu belum muktamad kerana siasatan masih dijalankan dan perlu menunggu laporan balistik bagi mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai jenis senjata digunakan suspek.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, baru-baru ini berkata, pihaknya menunggu laporan balistik mengenai jenis senjata digunakan pembunuh.

Kemungkinan lelaki berkenaan menggunakan Uzi SMG bagi membunuh Al-Batsh akan menguatkan dakwaan pihak tertentu, termasuk anggota keluarga mangsa bahawa agensi perisik Israel, Mossad, bertanggungjawab dalam pembunuhan itu.

Uzi SMG dikeluarkan Israel Weapon Industries (IWI) dan digunakan dengan meluas oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kebanyakan konflik di wilayah itu.

Berikutan peningkatan permintaan terhadap Uzi dari seluruh dunia, senjata jenis itu turut dikeluarkan syarikat lain di luar Israel.

Seberat kira-kira tiga kilogram (kg) dan mudah digunakan, Uzi asal menggunakan peluru sembilan milimeter (mm) kaliber, sama seperti keberkesanan pistol tetapi memiliki kadar tembakan amat tinggi dan mampu mencapai keupayaan menembak hingga 1,000 das seminit, bergantung pada variannya.

Selain submesingan Uzi jenis asal yang direka bentuk Uziel Gal pada 1940-an, pengeluar senjata itu juga menghasilkan senjata popular pelbagai jenis yang lebih kecil saiznya berbanding Uzi asal, dikenali sebagai Mini Uzi, Micro Uzi dan pistol Uzi Pro.

Oleh kerana ia tidak begitu berat, berbentuk kompak dan memiliki kadar daya tembakan tinggi, banyak anggota pasukan khas serta skuad pembunuh menggunakan Uzi atau variannya yang lebih kecil, terutama untuk berdepan musuh dalam pertempuran jarak dekat (CQB) atau operasi sulit.

Walaupun Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, menafikan pembabitan Tel Aviv dengan pembunuhan itu, ia tidak menafikan pembabitan Mossad, yang dituduh membunuh tokoh Hamas dan Palestin sebelum ini.

Sementara itu, wartawan dan akhbar Israel mendakwa pembunuhan Al-Batsh mempunyai ciri-ciri misi pembunuhan Mossad.

Polis Malaysia enggan menuding jari kepada Mossad dalam pembunuhan itu kerana siasatan masih dijalankan, tetapi meluaskan siasatan dengan menghantar sebuah pasukan khas ke Bangkok serta memohon kerjasama rakan sejawatan di Singapura dan Filipina.

Sumber keselamatan memberitahu BERNAMA baru-baru ini, dua lelaki berkenaan menggunakan pasport palsu Serbia dan Montenegro untuk memasuki Malaysia, yang kemudian disahkan KPN. Penggunaan dokumen palsu adalah taktik yang sering menjadi pilihan ejen perisikan untuk masuk dan keluar dari sesebuah negara.

Sumber itu mendedahkan, seorang daripada suspek menggunakan pasport Serbia dan Montenegro remaja lelaki berusia 14 tahun.

Selepas membunuh Al-Batsh, dua lelaki berkenaan yang disifatkan sebagai 'amat profesional' dan mempunyai kaitan dengan 'konflik Arab-Israel', melarikan diri ke Thailand melalui laluan haram di sepanjang sempadan.

Al-Batsh dibunuh ketika berjalan ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat subuh oleh dua lelaki menggunakan sebuah motosikal berkuasa tinggi, yang melepaskan kira-kira 10 das tembakan terhadap warga Palestin itu.

Bapa kepada tiga anak itu tinggal di Malaysia sejak kira-kira 10 tahun lalu dan bertugas di sebuah universiti tempatan.

Jenazah dihantar pulang ke Semenanjung Gaza dan dikebumikan sebagai pejuang yang gugur syahid. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com