Pembantu Petugas SPR Terima Ugutan Jenayah


SEREMBAN - Seorang pembantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis, semalam, selepas menerima ugutan bunuh menerusi Facebook (FB).

Pegawai Perhubungan Media PRU-14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Deputi Superintendan Mazrin Mahmud, berkata lelaki berusia 36 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Rembau, dekat sini, jam 12.35 tengah hari.

Katanya, sebelum itu, mangsa yang bertugas di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Rembau, Rembau, pada 28 April lalu itu menerima pesanan ringkas melalui WhatsApp daripada rakannya yang berkongsi paparan skrin daripada FB memuatkan komen berbaur ugutan terhadap mangsa.

"Mangsa diugut akan dicederakan dan dibunuh selain terdapat beberapa perkataan jelik yang ditujukan kepadanya. Berikutan itu, mangsa tampil membuat laporan polis.

"Kami sudah merakam keterangan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan di sini, semalam.

Sementara itu, Mazrin berkata, polis negeri ini membuka lima kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sejak 30 April lalu sehingga kelmarin.

"Ia membabitkan laporan perbuatan khianat merosak dan menconteng papan tanda kempen, video pemimpin politik membuat tuduhan tidak berasas kepada parti politik lain serta kenyataan fitnah di laman sosial," katanya.

Katanya, semua kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 kanun sama, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagi kempen PRU-14, beliau berkata, sebanyak 139 ceramah politik dan 109 kempen diadakan sejak Sabtu lalu hingga semalam, namun tiada insiden buruk berlaku.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Antiberita Tidak Benar jika ada pihak menyebar berita tidak sahih yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com