Pembangkang Mula Serangan Mengejut


BAGAN DATUK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan rancangan pembangkang untuk memasukkan Tun Dr Mahathir Mohamad ke hospital menjelang hari pengundian bagi meraih simpati pengundi.

Timbalan Perdana Menteri, berkata langkah itu adalah antara serangan mengejut pada saat akhir (SLMA) yang bakal dilakukan pembangkang untuk meraih simpati pengundi khususnya di Langkawi.

"Barisan Nasional (BN) tidak terkejut jika ia benar-benar berlaku. Kami (BN) telah menghidu mereka merancang supaya Dr Mahathir dimasukkan ke hospital untuk meraih simpati pengundi.

"Taktik ini telah kami hidu dan saya harap pengundi tidak terjebak dengan taktik yang digunakan untuk meraih simpati," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Sekampung di Kampung Pasang Api di sini semalam.

Yang turut hadir, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Ahmad Zahid berkata, sebagaimana yang berlaku sehari sebelum penamaan calon di Langkawi, Dr Mahathir mendakwa pesawat yang sepatutnya membawa beliau ke pulau itu disabotaj pihak tertentu, kononnya supaya hilang kelayakan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, katanya, Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, sudah menjelaskan siasatan mendapati tiada sabotaj.

"Ini (SLMA) terbukti daripada taktik digunakan Dr Mahathir yang mendakwa berlaku kebocoran tayar kapal terbang, kononnya seolah-olah ada sabotaj, tetapi Azharuddin memberi jawapan secara profesional dan menjelaskan tiada sabotaj.

"Taktik ini pasti banyak lagi akan digunakan... kita kenal beliau kerana kita pernah menjadikannya ketua. Strategi dan taktik itu mungkin berubah tetapi acuannya sama saja untuk mengelirukan pengundi, memperoleh simpati dan juga menyalahkan orang lain, walaupun kelemahan itu dilakukan pihak beliau.

"Jangan terjebak dengan taktik untuk beliau meraih simpati untuk menarik undi dengan kaedah lama yang digunakan tetapi dengan isu baharu yang diada-adakan," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Dr Mahathir boleh meminta badan bebas atau syarikat antarabangsa melihat laporan yang dibuat CAAM, sama ada benar atau tidak dakwaannya itu.

Katanya, Dr Mahathir seharusnya menerima dengan hati terbuka penjelasan pihak berwibawa dan yang bertanggungjawab, malah beliau harus meyakini dengan sistem yang beliau sendiri pernah wujudkan sebelum ini.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com