Pemandu Traktor Maut Digilis Ketika Membajak Tanah Di Pokok Sena


POKOK SENA- Seorang petani dari Kampung Lanchok, Batu 13 Jalan Kuala Nerang tidak menyangka tindakan rakannya naik traktor dengan memijak tayar berantai menyebabkan kaki mangsa tersepit hingga membawa maut .

Menurut Ahmad Saad, 63, kejadian itu berlaku pada jam 6.30 petang kelmarin  apabila mangsa, Mohd Azuan Abd Manaf,39, turun dari traktor membajak untuk berjumpa dan berbual dengannya tetapi kenderaan itu masih lagi bergerak.

Katanya, semasa mangsa turun dia menegurnya supaya memberhentikan traktor pembajak itu terlebih dahulu dan tiba-tiba mangsa terus ke arah traktor lalu melompat naik dengan memijak tayar berantai besi kenderaan itu.

“Tiba-tiba kedua kakinya tergelincir dan masuk ke dalam tayar rantai besi itu hingga terdengar seperti sesuatu patah selepas digilis. Saya sungguh terkejut dengan kejadian itu yang berlaku di hadapan mata dan menjerit meminta pertolongan.

“Saya tidak dapat memberi bantuan kepada mangsa kerana kejadian itu sangat mengerikan apabila tayar besi itu masih bergerak dan menyepit kedua kaki mangsa. Saya hanya mampu mengucap sahaja dan menggigil melihat kejadian itu.

“Saya terus lari ke sawah berdekatan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian untuk memaklumkan kejadian itu kepada abang mangsa supaya dapat menyelamatkan adiknya itu .

“Saya difahamkan man–gsa turut digilis dengan tayar berantai itu dan ditelan hingga ke belakang tempat membajak tanah. Memang menyedihkan tetapi saya sangat terkejut dan terpaksa meminta bantuan dari orang lain untuk menyelamatkannya,” katanya .

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba, Muha–mmad Nurul Iman Mohamad Rawi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.19 malam .

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian dan operasi tamat pada jam 8.30 malam,” katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Banggol, Jalan Panchor di sini semalam.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com