Peluang BN Sarawak Menang Besar Kian Cerah - KM


MUKAH - Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencapai sasaran memenangi 28 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada hari pengundian, Rabu depan.

Malah, Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak itu berkata, ini berdasarkan sambutan baik pengundi kepada BN selepas sembilan hari berkempen.

"Berdasarkan penerimaan setakat ini, sasaran untuk BN menyumbang tiga lagi kerusi Parlimen dari Sarawak sebagai tambahan 25 kerusi sedia ada nampaknya semakin cerah.

"Bukan itu sahaja, saya juga sudah melihat petanda baik untuk kita menambah lebih banyak kerusi, melebihi daripada apa yang kita sasarkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Tinjauan Mesra di Kampung Igan, di sini, Ahad.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya; ADUN Daro, Shafiee Ahmad, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi serta calon BN Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Tanpa menjelaskan lokasi kerusi yang mampu dimenangi, Abang Johari berkata, ia antara kerusi panas yang dikategori hitam sebelum ini.

Sementara itu, bagi kawasan putih terutama milik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), termasuk Igan dan Mukah, beliau berkata, pengundi di kawasan itu harus keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

"Jangan kerana yakin boleh menang mudah, ada yang tidak mahu keluar mengundi. Keluarlah beramai-ramai kerana kita mahu menang dengan majoriti lebih besar," katanya.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM173 juta untuk pelaksanaan projek pembangunan di Parlimen Igan.

Ia termasuk pembinaan jalan raya menghubungkan Igan dengan Kampung Sungai Ilas yang berjumlah RM69 juta dan jalan raya dari Igan ke Kampung Kebuwau, berjumlah RM60 juta.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com