Pelihara Puasa, Elak Buka Aib Dan Komen Negatif


KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur masyarakat supaya memelihara ibadat puasa sebaiknya dengan mengelak daripada membuka aib atau memberikan komen negatif, terutama di media sosial.

Komen itu dibuat susulan kecaman netizen di media sosial berhubung penggeledahan di kediaman peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung siasatan kes penyelewengan dana, syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Beliau berkata, sebaiknya orang awam menyerahkan isu berkenaan untuk diselesaikan oleh pihak berkuasa.

"Ramadan ini sepatutnya kita pelihara nafsu, terutama mata, telinga dan tangan daripada perbuatan keji.

"Lebih baik berdoa supaya sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT dan semoga ditutup aib kita semua," katanya ketika ditemui pada program A Night with Mufti di Istana Budaya (IB) di sini, malam kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Ketua Pengarah Istana Budaya (IB), Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan wakil Kedutaan Arab Saudi, Sheikh Abdul Rahman Harfi.

Acara kali ketiga anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu bermatlamat mewujudkan hubungan dua hala bagi manfaat bersama antara institusi agama dengan selebriti.

Lebih 200 penggiat seni hadir termasuk Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fizo Omar, Johan Asaari dan Ashraf Muslim.

Acara ini turut menyokong kempenWorld #QuranHour menerusi sesi tadarus dan tadabbur al-Quran Surah Al-Hujurat ayat 10 hingga 13 sebelum jamuan berbuka puasa.

Selepas itu, sesi dialog bersama mufti turut diadakan dan diakhiri dengan solat tarawih berjemaah serta moreh.

World #QuranHour bakal berlangsung secara besar-besaran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuala Lumpur pada 22 Ramadan bersamaan 7 Jun ini.

Sementara itu, Siti Nurhaliza berkata, inisiatif menerusi program itu amat baik kerana menunjukkan institusi agama bersikap adil dengan turut meraikan dan mendengar suara golongan selebriti.

"Mungkin ada yang berpandangan golongan artis ini hanya fokus kepada hiburan semata-mata, tetapi kami juga turut mempunyai keinginan dan banyak terbabit dalam program keagamaan.

"Diharapkan usaha sebegini dicontohi institusi agama dan pendakwah supaya turut membabitkan selebriti dalam hal agama," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com