Peguam Gesa PH Tunai Janji Mansuh Akta Antiberita Tidak Benar


KUALA LUMPUR - Peguam N. Surendran menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya mengotakan janji semasa kempen Pilhan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bahawa mereka akan mengkaji dan memansuhkan akta tidak adil serta zalim antaranya Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Menurut peguam itu, akta tersebut yang diwartakan pada 11 April lalu ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa, tidak perlu dipinda sebaliknya layak dibuang ke dalam tong sampah dan dimansuhkan kerana menekan rakyat.

Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda maksimum RM500,000.

Surendran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pengurusan kes Mkini Dotcom Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memohon perisytiharan bahawa akta berkenaan melanggar Fasal 5(1) dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah dan terbatal. 

Menurut Surendran, Hakim Datuk Azizah Nawawi menetapkan 21 Mei ini untuk mendengar permohonan kebenaran anakguamnya, Mkini Dotcom bagi suatu prosiding semakan kehakiman. 

Peguam itu juga memberitahu, pihaknya terkejut selepas dimaklumkan yang Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Mkini Dotcom. 

Beliau berkata, pihaknya menggesa supaya AGC menarik balik bantahan awal tersebut. 

Mkini Dotcom selaku pihak pemohon juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Menteri Dalam Negeri (ketika itu) yang dinamakan sebagai responden kedua menarik balik warta bertarikh 11 April lalu iaitu akta tersebut dikuatkuasakan sebagai undang-undang.

Pihak pemohon menamakan kerajaan yang memerintah sebelum ini sebagai responden pertama. 

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com