“Pegang Bendera Musuh Tanda Dah Menang” – Najib


MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan berlangsung kira-kira seminggu sahaja lagi, kemeriahan dan bahang sudah mula boleh dirasai.

Malah, bendera parti serta gambar poster pemimpin utama negara telah menghiasi jalan raya di seluruh pelosok kota dan desa sekaligus menghangatkan lagi suasana PRU14 yang bakal berlangsung pada 9 Mei depan.

Di sebalik kehangatan tersebut, terdapat beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak melakukan sabotaj terhadap gambar pemimpin negara kita.

Antara yang menjadi mangsa tentunya gambar Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak di mana tular di laman sosial Twitter sekeping gambar poster beliau ‘memegang’ bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Poster asal sebenarnya memaparkan gambar Najib dalam keadaan tersenyum dan tangannya didepakan ke atas.

Bagaimanapun, penyokong pembangkang telah bertindak mengubah suai kedudukan dua bendera PKR ke tangan Najib seolah-olah beliau memegang bendera parti lawan.

Gambar tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama @HasrulRizwan dan sehingga kini telah mendapat lebih 9,500 retweet di laman sosial berkenaan. Namun, lokasi poster Najib diperlakukan seperti memegang bendera PKR itu tidak diketahui.

Pengguna tersebut menulis bahawa sesiapa yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut layak menerima ‘anugerah’ pemacak bendera terbaik.

Bagaimanapun, usaha pihak tersebut yang dipercayai hendak melakukan sindiran kepada Perdana Menteri Malaysia itu tidak berhasil apabila beliau secara bersahaja membalas entri berkenaan.

Najib menerusi laman Twitternya memuat naik semula gambar berkenaan sambil mengingatkan orang ramai bahawa dalam dalam simbol peperangan, sekiranya bendera musuh di tangan kita, ia bermakna kemenangan sudah dikecapi.

“Dalam perang kalau bendera di tangan musuh maknanya dah kalah. Ayuh, #jomBN! #PRU14,” tulis Najib membalas kenyataan gambar tersebut.

Tindakan beliau itu telah menyebabkan netizen geli hati dan rata-rata memuji karakternya sebagai seorang pemimpin yang moden dan lucu.

Ramai melihat beliau sebagai seorang yang tenang dan tidak mudah melatah malah bijak mengurus keadaan.

Untuk pengetahuan, sejak dahulu, panji atau bendera menjadi lambang kekuatan dan semangat sesebuah pasukan.

Justeru, apabila berperang, mereka akan berusaha sedaya-upaya mempertahankan panji tersebut dari jatuh ke tangan musuh.

Komen Najib itu nyata sekali ada benarnya dan apabila pihak pembangkang melakukan strategi menjatuhkan lawan sebegitu, ia jelas menunjukkan mereka sebenarnya takut dan risau akan kekuatan parti BN.

Ramai pengguna laman sosial berkenaan menganggap Najib bijak membuat ‘serangan balas’ terhadap provokasi luar yang mahu memburukkannya.

Isu ini telah menunjukkan bahawa pemimpin negara kita merupakan seorang yang bersahaja dan boleh didekati rakyat dalam apa jua keadaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com