PDM BN Di Sungai Petani Dibakar Dipercayai Perbuatan Khianat


SUNGAI PETANI - Pusat Daerah Mengundi BN di Taman Tuanku Haminah terbakar dalam kejadian kira-kira 7 pagi tadi dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, kerosakan melibatkan dua khemah termasuk bumbung dan 50 kerusi yang diletakkan di bawah khemah terbabit.

Menurutnya, polis menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki memberitahu sebuah khemah BN dan bendera di Taman Tuanku Hamimah, Jalan Kelab Cinta Sayang terbakar pada jam 6.54 pagi.

“Orang awam memaklumkan kepada polis dan pihak bomba, mereka bukan dari parti BN tetapi hanya kebetulan melalui kawasan tersebut.

“Saksi ini nyatakan tidak nampak sesiapa yang bakar kerusi di khemah tersebut dan hanya nampak kerusi terbakar,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kali terakhir khemah tersebut digunakan pada jam kira-kira 1 pagi selepas selesai aktiviti.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Sementara itu, Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes berkenaan dan menganggap ia perbuatan khianat pihak tertentu.

“Tak kira parti mana pun, kejadian khianat tak patut berlaku dalam suasana kita kempen PRU, kita bagitau petugas kalau nak pasang bendera, pasang sebelah, jangan buang atau lindung bendera parti lain, cari tempat strategik.

“Tak dak masalah, siapa yang bertanding dia berhak pacak bendera, pasang poster tapi jangan kita sibuk sesuatu yang boleh akibatkan berlaku perkara tak diingini, pergaduhan dan sebagainya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat India di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang.

Terdahulu, pada 1 Mei lalu, sebuah PDM BN di Jalan Bunga Rampai, Taman Ria Jaya turut dijadikan sasaran apabila sebahagian kecil poster, bendera dan kain rentang dirosakkan dalam kejadian kira-kira 8 pagi.

Satu laporan polis turut dibuat berhubung kejadian.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com