PBB Sertai PH Adalah Berita Palsu - Abdullah Saidol


PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menggambarkan penyertaan parti tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak itu untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) yang kini menerajui Kerajaan Pusat sebagai berita palsu.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Perhubungan Korporat), Abdullah Saidol berkata, bantahan keras yang dilakukan Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, berkenaan isu kemasukan itu adalah reaksi melampau yang disifatkannya sebagai ‘melalut’.

“Reaksi Chieng Jen sehingga tiba-tiba melalut membangkitkan mengenai hasrat beliau untuk menangkap semua pemimpin yang korup (dalam BN Sarawak).

“Nasihat saya adalah, beliau harus memulakan tindakannya dengan menyiasat dulu pemimpin korup yang sekarang ini ramai dalam rumah PH mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan, di Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PBB akan mempertahankan integriti serta maruah perjuangan politik parti itu dan tidak sesekali bertindak seperti ‘katak’.

“PBB tidak terdesak kerana kami dalam BN Sarawak secara amnya tahu di mana letaknya kekuatan serta kelebihan kami di negeri ini,” katanya.

Katanya, warga Sarawak sentiasa bangga dengan kesederhanaan sikap, perpaduan serta keunikan.

“Kami akan terus bersatu dalam kepelbagaian agama dan budaya. BN Sarawak sentiasa menghargai ciri demokrasi iaitu sama bersetuju untuk kadang-kadang tidak sependapat,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com