Patuhi Peraturan, Etika Berkempen


SEBAIK proses penamaan calon selesai Sabtu lalu, bermulalah aktiviti berkempen calon yang bertanding mewakili parti politik tertentu dan ada atas tiket bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selama 11 hari sehingga tengah malam sebelum hari pengundian pada 9 Mei.

Semua aktiviti berkempen mestilah mematuhi peraturan ditetapkan SPR serta undang-undang yang ada di negara ini. Parti politik dan calon mesti mematuhi peraturan berkaitan salah laku dan aktiviti rasuah termaktub dalam Seksyen 7 hingga 11, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Mematuhi undang-undang, peraturan serta etika berkempen penting supaya proses pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian buruk.

Segala bentuk kempen juga seharusnya dapat mempamer serta melambangkan budaya politik Malaysia yang matang serta sikap warga Malaysia yang bertamadun.

Walaupun kempen dan ceramah politik pilihan raya boleh dianggap sebagai ruang meluahkan pendapat atau kebebasan bersuara, hak kebebasan bersuara itu bukan sesuatu yang bersifat mutlak.

Kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan mempunyai had, kawalan atau batasan tertentu dan ahli politik seharusnya memahami perkara penting ini.

Batasan dikenakan itu untuk menjamin kerukunan, keharmonian, perpaduan dan keselamatan negara agar tidak terancam, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Justeru, isu sensitif atau perkara yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan dalam negara hendaklah dijauhi semasa berkempen.

Hasutan, jenayah

Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 (Akta A30) menjelaskan sesiapa yang mempermain atau mempersoalkan isu sensitif, maka ia satu hasutan atau jenayah.

Ini bermakna sesuatu ucapan atau apa-apa bentuk pengaliran fikiran yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan keselamatan negara seperti perbuatan yang cuba mengapi-apikan isu perkauman dan keagamaan adalah dilarang.

Perbuatan lain seperti penghinaan terhadap mahkamah, kedudukan Raja, mempertikai hak keistimewaan yang ditentukan Perlembagaan, menyebar berita palsu serta perbuatan menghasut juga ditegah.

Kebebasan bersuara juga mesti hadir bersama tanggungjawab akhlak dan moral. Dalam konteks ini, berkempen dalam apa bentuk sekali pun harus mengelak daripada menggunakan perkataan lucah dan kesat, memaki hamun serta memburuk-burukkan lawan. Amalan mazmunah itu melambangkan kerendahan akhlak.

Kita juga mengharapkan pengundi bijak dalam membuat keputusan dengan memilih calon yang mereka yakini tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak. Kita yakin rakyat sudah semakin matang dalam menggunakan hak mereka.

Sokongan seharusnya diberikan kepada calon yang mampu memikul amanah dengan penuh integriti atau parti yang diyakini mampu mengurus dan mentadbir negara dengan baik.

Penulis adalah Penganalisis Sosiopolitik Bebas

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com