PAS Pusat Kaji Mungkin Bekerjasama Dengan BN Di Perak


IPOH - Sehingga jam 4.30 pagi ini, tiada mana-mana parti di Perak dapat membentuk kerajaan negeri berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 27 kerusi, PKR menang 29 kerusi manakala PAS tiga kerusi daripada keseluruhan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dijangka mengadakan sidang media mengenai kedudukan BN dan kerajaan negeri hari ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Komunikasi Pejabat Menteri Besar, Nizam Isa, kepada media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Berdasarkan kedudukan kerusi dimenangi yang menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah iaitu menang sekurang-kurangnya 30 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri, ada kemungkinan kerajaan campuran diwujudkan iaitu gabungan dua daripada tiga parti utama.

Sejak sebelum PRU lagi sudah kedengaran kemungkinan wujudnya kerjasama UMNO-PAS jika BN tidak cukup kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, sumber dalaman PAS memaklumkan kepada NSTP, PAS Perak sedang menunggu keputusan pimpinan pusat parti itu yang sedang bermesyuarat di ibu negara mengenai kemungkinan mewujudkan kerajaan campuran ini.

Katanya, perbincangan bukan sahaja mengenai senario di Perak, sebaliknya turut membabitkan negeri Kedah yang turut menyaksikan tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan negeri.

"Kami sedang menunggu keputusan hasil perbincangan pimpinan PAS pusat yang sedang diadakan pada ketika ini.

"Keputusan itu adalah untuk menentukan untuk kita (PAS Perak) bersama dengan mana-mana pihak.

"Perbincangan sudah pasti untuk tahu pihak mana yang akan memberi paling sedikit kemudaratan kepada PAS selain memberi faedah kepada parti, ahli dan rakyat," katanya ketika dihubungi awal pagi ini.

Katanya, PAS melalui kajiannya daripada awal mengetahui parti itu sebagai 'king maker' (penentu keputusan) dalam konteks negeri Perak, namun sama sekali tidak menyangka kerajaan BN pusat akan tumbang.

Keputusan PRU-14 menyaksikan kejutan termasuk Zambry hanya mengekalkan kerusi DUN Pangkor, namun tewas di Parlimen Lumut.

Kejutan turut berlaku apabila tiga Exco turut tewas iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim gagal mempertahankan kerusi DUN Behrang.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid gagal mempertahankan DUN Kamunting.

Bagi kerusi Parlimen pula, seorang lagi Exco iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon pula tewas di Parlimen Tanjung Malim.

Bagi pemimpin pusat, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong pula gagal mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan, manakala bekas Menteri kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang dicalonkan semula BN, tewas di Parlimen Tambun.

Dua timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Kewangan yang juga Naib Presiden MCA, Datuk Lee Chee Leong dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap timbalan Presiden MIC pusat, Datuk Seri SK Devamany, masing-masing tewas di Parlimen Kampar dan Sungai Siput.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang di kerusi Parlimen Bagan Datuk; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertahankan kerusi Parlimen Larut.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan pula masing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Salak dan Tapah.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com