PAS Mahu Pecah-Belahkan Umat Islam - Mahathir


TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa, tujuan PAS untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) hanyalah untuk memecah-belahkan orang Islam, walaupun parti itu sering kalah dalam PRU.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, PAS hanya menang besar dengan 27 kerusi Parlimen pada PRU-13 kerana bergabung dengan DAP dan meramalkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu hanya akan menang 11 kerusi pada PRU-14, berbanding 160 kerusi yang ditandingi.

“Sekarang ini dia punya fatwa adalah PAS patut bertanding walaupun kalah untuk tarik pengundi supaya jangan undi Pakatan Harapan, beri kemenangan kepada UMNO. Dulu UMNO kafir tapi sekarang PAS berusaha nak bagi UMNO menang.

“Di mana kedudukan Hadi ini? Di mana-mana tempat pun tiada harapan (PAS menang).

“Kali ini Hadi kata dia nak bertanding 160 kerusi. Dia boleh dapat kerusilah, selain daripada itu tidak dapat. Niat tak baik, kita bertanding sebab nak dirikan kerajaan, tukar kerajaan tapi PAS bertanding sebab nak yang buruk itu kekal, yang baik tersekat,” dakwa calon kerusi Parlimen Langkawi itu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap di program Sepetang Bersama Kepimpinan Harapan di Bukit Changgang di Sepang semalam.

Dr Mahathir turut mendakwa pendiriannya sudah berubah sama sekali terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana calon Parlimen Iskandar Puteri itu dikatakan tidak seburuk yang disangka.

“Saya dulu seteru besar dengan DAP, musuh ketat saya ialah Kit Siang tetapi selepas berjumpa dan bercakap dengannya, nampaknya dia tidak begitu buruk macam mana yang saya fikir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mendakwa terpaksa melalui pemeriksaan ketat imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Subang pagi tadi walaupun hanya pulang dari Terengganu.

“Saya balik dari luar negara. Rupanya Terengganu bukan sebahagian Malaysia. Saya baru tahu kerana bila saya sampai di lapangan terbang, ada kastam dan imigresen periksa semua,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pembangkang merancang untuk memasukkan beliau ke hospital menjelang hari pengundian bagi meraih simpati pengundi, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

“Saya tidak perlu ke hospital untuk mendapatkan undi simpati,” katanya.

Beliau turut mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa Ahmad Zahid ada bertemu beliau untuk mendapat sokongannya selepas menjadi Timbalan Perdana Menteri, walaupun perkata itu sudah dinafikan Ahmad Zahid.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sebelum ini turut menyatakan bahawa dakwaan Dr Mahathir itu tidak berasas kerana beliau lebih mengenali Ahmad Zahid.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com