Pas Kedah Desak Tun M Adakan Sidang OIC Tergempar


ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diminta bertindak segera menyuarakan secara tegas dengan meminta mengadakan Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang tergempar bagi membincangkan kematian 60 rakyat Palestin di tangan tentera rejim zionis ketika bantahan di sempadan Gaza, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid, berkata Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang lantang mengkritik tindakan Israel yang disokong Amerika Syarikat dalam apa jua kaedah yang menjejaskan kepentingan Islam.

Katanya,  Malaysia sebuah negara majoriti terdiri umat Islam, suara kita (Malaysia) 'lebih besar'. Oleh itu, Mahathir diminta bertindak segera kerana Israel disokong negara yang dipimpin Donald Trump.

"Pemindahan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitul Maqdis adalah satu provokasi yang jelas ke atas orang Islam terutama penduduk Palestin yang selama ini berjuang bagi membebaskan tanah air mereka yang dijajah Israel.

"Sudah tiba masanya, Malaysia meminta diadakan sidang OIC tergempar bagi mencari dan memutuskan jalan terbaik bagi menyekat keangkuhan Israel dan Amerika Syarikat supaya tiada lagi nyawa orang Palestin dianggap sebagai mainan sekali gus melindungi hak Islam," katanya, ketika ditemui selepas penganjuran Himpunan Aman Membantah Pemindahan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqdis di Masjid Nurul Ihsan, Langgar di sini, siang tadi.

Himpunan itu dianjurkan oleh Dewan Pemuda Pas Negeri kedah mewakili suara umat Islam di Kedah khususnya dan di Malaysia amnya sebagai tanda solidariti terhadap umat Islam berhubung isu-isu Palestin.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuk Israel atas kematian 60 rakyat Palestin di tangan tentera rejim zionis itu ketika bantahan di sempadan Gaza pada Isnin lalu.

"Kita menentang pembunuhan orang awam oleh Israel. Kita bersimpati terhadap rakyat Palestin dan menentang Israel," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Harapan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com