PAS Kaji Projek Dilaksanakan BN Di Terengganu


MARANG - PAS tidak akan menghentikan projek pembangunan yang sedang dan sudah dilaksanakan Barisan Nasional (BN) di Terengganu, namun ia bergantung kepada keperluan serta implikasi kewangan terhadap kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata PAS akan membentuk jawatankuasa khas bagi mengkaji keseluruhan projek berkenaan.

"Kita akan membuat audit dan membentuk jawatankuasa dianggotai pakar yang bersesuaian untuk melakukan penilaian terhadap keseluruhan projek.

"Tentu sahaja ada projek itu yang sudah dan hampir siap. Namun, jawatankuasa dibentuk akan menilai dari segi keperluan ia disiapkan dan implikasi kewangan terhadap kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi bagi Parlimen Marang di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sekiranya PAS mendapati ada projek berkenaan yang memerlukan penambahbaikan, ia akan dilakukan.

"Kita mahu setiap projek ini tidak membebankan kerajaan negeri dan mampu memberi limpahan ekonomi atau hasil kepada rakyat," katanya.

PAS merampas semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila memenangi 22 kerusi DUN dipertandingkan berbanding BN yang hanya memperoleh 10 kerusi.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com