PAS Bincang Kerajaan Tergantung Di Kedah


KUALA TERENGGANU - PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu kedudukan kerajaan negeri Kedah yang masih tergantung susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata mesyuarat itu akan membincangkan kerjasama yang akan dibuat sama ada dengan gabungan pakatan dalam PKR atau Barisan Nasional (BN).

Katanya, buat permulaan PAS akan mengadakan perbincangan dalaman sebelum melanjutkan perbincangan dengan PKR atau BN.

Pada PRU-14 menyaksikan daripada 36 kerusi DUN di negeri ini yang dipertandingkan, PKR menang 18 manakala PAS (15) dan BN (tiga).

"Kita (PAS) menjadi 'king maker' di peringkat negeri dan akan berbincang dalam mesyuarat khusus itu. Kita akan menilai dan Insya-Allah kita akan jemput pimpinan PAS Pusat dengan seberapa segera untuk bincangkan perkara ini.

"Kita mesti melihat semua pihak bukan sahaja BN tetapi juga pakatan (PKR). Kita mesti melihat semua pihak dengan keselarasan dasar dan konsep kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan dan watikah pelantikan menteri besar baharu serta 10 EXCO PAS di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini, malam tadi.

Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu ke-15, selepas PAS merampas buat kali ketiga pentadbiran kerajaan negeri daripada BN yang tewas dalam PRU-14.

Keputusan PRU-14 menyebabkan kerajaan negeri Kedah tidak dapat dibentuk sehingga kini.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com