Palestin Minta Negara Arab Panggil Balik Duta Ke AS


KAHERAH - Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, semalam menyuarakan pandangan meminta negara Arab memanggil balik duta mereka di Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap tindakan Washington memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis.

"Tidak salah bagi negara Arab secara kolektif memanggil balik duta mereka di Washington untuk tujuan perbincangan," kata Maliki dalam ucapan di Liga Arab di Kaherah.

AS membuka kedutaan baharu di Israel di Baitulmaqdis, Isnin lalu dan perpindahan kontroversi itu menerima kritikan meluas. Tentera Israel membunuh puluhan warga Palestin yang melakukan tunjuk perasaan di Semenanjung Gaza, ketika pembukaan kedutaan itu.

Negara ahli Liga Arab mengadakan mesyuarat luar biasa di Kaherah, semalam diwakili menteri luar masing-masing. Maliki menggesa negara ahli badan serantau itu supaya memanggil balik duta mereka sebagai membantah pemindahan kedutaan AS ke Baitulmaqdis.

Katanya, pada persidangan sebelum ini negara Arab bersetuju untuk memutuskan hubungan dengan mana-mana negara yang memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis.

Delegasi Lubnan berkata, Kementerian Luarnya sudah menghantar surat kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya mengambil langkah untuk memastikan mereka yang membunuh warga Palestin dikenakan hukuman yang setimpal.

Setakat ini, tindakan balas terhadap cadangan Maliki masih belum jelas. Beberapa negara Arab seperti Mesir dan Arab Saudi mempunyai hubungan baik dengan pentadbiran Presiden Donald Trump. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com